Rempuh kedai gara-gara tertekan pedal minyak - Utusan Malaysia

Rempuh kedai gara-gara tertekan pedal minyak

KEADAAN kereta yang merempuh masuh ke dalam kedai di Jalan Bandar Timah, Ipoh semalam. - UTUSAN/GAMBAR MEDIA SOSIAL

IPOH: Gara-gara tersalah tekan pedal minyak, kereta dipandu seorang wanita merempuh hingga masuk ke sebuah kedai di Jalan Bandar Timah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada orang awam pada pukul 9.52 malam.

Katanya, kejadian tersebut berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton X50 berusia 50 tahun meletakkan kenderaan di hadapan sebuah kedai.

“Selepas kesemua penumpang turun, pemandu kereta dipercayai telah tersilap tekan pedal minyak menyebabkan kereta tersebut naik ke atas¬† kaki lima lalu merempuh masuk ke dalam kedai.

“Ketika kejadian, kedai berkenaan tidak menjalankan operasi perniagaannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, pemandu kereta mengalami lebam di bahagian dahi dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, abang ipar mangsa berusia 60 tahun yang cedera di bahagian kiri badan dan mengalami luka di muka kini sedang dirawat di wad kecemasan HRPB.

“Mangsa bersama empat ahli keluarga termasuk dua orang kakak, abang ipar dan anak saudara datang dari Selangor ke Ipoh untuk bercuti.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian akibat kecuaian pemandu semasa meletakkan kenderaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN