Rasuah Jana Wibawa: Wan Saiful kemuka representasi

Rasuah Jana Wibawa: Wan Saiful kemuka representasi

WAN SAIFUL Wan Jan  hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes rasuah Jana Wibawa. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi berkaitan dua pertuduhan rasuah berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 21 Februari lalu dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan Jana Wibawa.

Wan Saiful turut didakwa meminta rasuah berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta daripada Kerajaan Malaysia secara pra kelayakan.

Perkembangan mengenai representasi itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Wan Saiful, 48, semasa sebutan kali pertama di hadapan Hakim Rozina Ayob hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Afif Ali berkata pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan serahkan nanti. Kami perlukan masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

Semasa prosiding itu, Rozina menegur Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya tertuduh tiba lebih awal di mahkamah.

“Saya harap ini kali pertama dan terakhir, (datang lewat ke mahkamah) selepas ini sila rancang perjalanan kamu,” kata hakim itu.

Wan Saiful kemudian memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah keluar rumah pada 7.15 pagi namun tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei untuk sebutan kes.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful didakwa meminta rasuah sekitar bulan April 2022 di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini. Pertuduhan kedua, Wan Saiful didakwa menerima RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn. Bhd.

Tertuduh didakwa menerima upah bagi membantu Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut yang bernilai RM232 juta. Wan Saiful didakwa melakukan perbuatan itu di antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022 di CIMB Bank Cawangan Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Bukit Tunku di sini.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.