PASIR MAS: Peniaga ayam di Pasar Besar Bandar Tasek Raja di sini menjangkakan harga bahan mentah itu naik antara 20 sen hingga 30 sen sekilogram menjelang ketibaan Ramadan tidak lama lagi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata peniaga mengakui kenaikan itu berlaku setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Seorang peniaga, Kharizan Othman berkata, dia dan rakan-rakan peniaga lain terpaksa menaikkan harga sekiranya pembekal berbuat demikian.
Katanya, jika tidak berbuat demikian mereka berdepan kerugian sekali gus menjejaskan pendapatan untuk menyara keluarga.
“Dua bulan lepas harga ayam sudah naik dan ketika ini saya menjualnya pada harga RM9.80 sekilogram. Bagaimanapun, saya tidak mengenakan caj pemotongan jika pelanggan meminta berbuat demikian,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan bekalan barangan basah terutama sayur, ayam dan telur dijangka berkurangan sehingga 30 peratus menjelang ketibaan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus mempengaruhi harga di pasaran.
Sementara itu, Mohd. Zailani Mohd. Zain, 50, berkata, rata-rata peniaga sudah menjangkakan berlaku kenaikan harga ayam menjelang Ramadan.
Dia berharap kenaikan kali ini tidak membebankan pengguna dengan harga luar biasa.
“Jika ayam mahal jualan kami terjejas nanti, semoga kenaikan harga itu tidak membebankan pengguna,” katanya.. – UTUSAN











