Rafizi tak ambil peduli disindir 'Raja Formula' - Utusan Malaysia

Rafizi tak ambil peduli disindir ‘Raja Formula’

RAFIZI Ramli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui tidak mengambil peduli berkenaan sindiran sebagai ‘Raja Formula’ yang dilemparkan pihak pembangkang kepadanya.

Malah Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau yakin rakyat dan pengundi adalah bijak untuk membandingkan menteri kerajaan yang berterusan memberikan idea berbanding pihak pembangkang yang tidak tampil dengan idea menambah baik keadaan rakyat.

Jelasnya, semua ‘formula’ beliau yang diungkit oleh pembangkang ketika ini dilontarkannya pada 10 dan 15 tahun lepas yang keadaannya berbeza berbanding ekonomi negara pada hari ini.

“Saya sebenarnya tidak pernah ambil kesah kerana saya yakin pengundi sebenarnya cerdik. Mengenai mainan politik pembangkang dalam soal Raja Formula, mereka tidak sedar bahawa pengundi membandingkan menteri dan juga pemimpin kerajaan yang berterusan ada idea, berbanding dengan bekas-bekas menteri ataupun pembangkang yang kerjanya hanya menyindir tetapi tidak ada satu idea untuk menambah baik keadaan rakyat.

“Kita semua tahu perkara yang mereka ungkit mengenai formula ini semua adalah perkara 10 ke 15 tahun lepas pada masa yang berbeza. Contohnya saya orang pertama yang sebut mengenai PTPTN memang betul iaitu tahun 2010 dan 2011, ketika itu saya sudah lihat pada hutang RM20 bilion dan pada kadar bayaran balik oleh peminjam, kalau tidak dilakukan sesuatu, hutang PTPTN itu akan menjadi terlalu besar dan ditanggung oleh kerajaan.

“Masalahnya benda itu tidak diambil kira pada masa itu dan ia berterusan, sekarang ini hutang PTPTN RM40 bilion dalam keadaan hutang negara juga RM1.5 trilion maka perkara yang boleh dibuat pada 2010 kerana masa itu ada ruang kewangan, sekarang ini tidak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Stesen Bas Terminal 1 Seremban di sini hari ini.

Rafizi menambah, perkara yang sama dalam pandangannya mengenai penurunan harga kereta menerusi pengurangan cukai eksais.

“Cukai eksais kereta sekarang menyumbang kepada RM9 ke RM11 bilion pendapatan negara tiap-tiap tahun, apabila hutang sudah RM1.5 trilion kalau kita kurangkan cukai untuk turunkan harga kereta maka siapa nak bayar subsidi, siapa nak bayar pencen, siapa nak buat projek infrastruktur?

“Rakyat boleh membandingkan bahawa kerajaan kena imbang semua ini kerana kita mewarisi hutang yang besar, maka kita kena berhemah, apabila berhemah itu kena utamakan perbelanjaan dan perlu imbang dengan pendapatan,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau tidak boleh terus bermain dengan politik dan bertikam lidah dengan pihak pembangkang dalam soal tersebut kerana ia akan mengakibatkan tugas kerajaan tergendala.

“Rakyat boleh menghakimi, lebih ramai orang dapat manfaat lebih banyak formula yang diusahakan, orang ramai akan berlaku adil kepada prestasi kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya