PETALING JAYA: Berbaki dalam tempoh enam hari lagi sebelum sebutan kes permohonan cerai, pelakon, Puteri Sarah Liyana menaruh harapan besar agar dirinya dilepaskan dengan cara baik.
Tidak mahu dirinya dibebani masalah dan kekusutan dalam hubungan sebagai suami dan isteri, Puteri Sarah mahu meneruskan kehidupan dengan tenang bersama anak-anak.
“Kalau boleh hendak 100 peratus dilepaskan dan harap pihak sana (Syamsul Yusof) permudahkan. Saya tak nak lama-lama seperti ini,” katanya semasa majlis tayangan perdana drama Andai Itu Takdirnya, semalam.
Puteri Sarah berkata, dia nekad dengan keputusan itu selepas memohon petunjuk dari Yang Maha Esa ketika menunaikan umrah, bulan lalu.
“Saya sudah buat solat istikharah masa tunaikan umrah, kadang-kadang memang kita tak dapat petanda dalam mimpi. Namun, bila kita buat keputusan dan dipermudahkan, tak rasa berdebar atau tidak boleh tidur malam, maka itulah petunjuk terbaik bagi saya,” katanya.
Berhubung hak penjagaan anak kelak, Puteri Sarah berkata, hal tersebut tidak menjadi masalah kerana suaminya mengetahui dirinya akan menjaga zuriat mereka.
Jelasnya, perkara tersebut juga akan melibatkan perbincangan antara peguam di kedua-dua belah pihak.
“Kalau saya ada penggambaran, keluarga saya atau mentua akan jaga anak-anak. Hubungan saya dengan mentua juga macam biasa, saya pun baru balik dari rumah mentua selepas seminggu bermalam di sana semasa cuti sekolah,” katanya.
Terdahulu, Syamsul membuat kejutan apabila mengumumkan bernikah dengan Ira Kazar di Thailand dan berwalikan ayahnya, Kazar Saisi.
Susulan daripada pendedahan itu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai pada 16 Januari lalu.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 7 Mac depan sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Summayah, 3.