Pulangan tanam padi tak setimpal, pesawah tukar status tanah

Pulangan tanam padi tak setimpal, pesawah tukar status tanah

SEORANG pesawah membakar jerami untuk melupuskan jerami padi selepas musim menuai ketika tinjauan di Permatang Tok Gelam, Butterworth, Pulau Pinang. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Peningkatan kos mengusahakan tanaman padi terutama harga racun dan baja yang sering naik mengakibatkan segelintir pesawah memilih untuk menukar tanah mereka kepada tujuan lain yang lebih menguntungkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, hasil padi yang tidak menentu juga menjadi antara punca kebanyakan pesawah menjual tanah sawah mereka kerana tidak mahu berdepan kerugian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pesawah, Aziz Daud, 73, berkata, setiap tahun pendapatan daripada tanaman itu semakin merosot walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi.

Katanya, dia sudah bercadang untuk menambun tanah sawahnya seluas kira-kira 0.5 hektar pada tahun lalu untuk dibina rumah kediaman sebelum disewakan.

“Sawah saya diusahakan secara pawah dengan mengupah orang mengerjakannya sebab tidak lagi kuat turun ke bendang, tetapi melihat hasil pendapatan yang terpaksa dikongsi dua sudah tidak setimpal, saya sudah fikir untuk tukar guna tanah itu.

“Tahun lepas lagi terfikir untuk bina rumah sewa sahaja di atas tanah ini, tetapi saya tetap masih cuba teruskan tanam padi dengan harapan pendapatan semakin baik tetapi nampaknya tidak banyak beza dengan musim-musim lalu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Akhbar ini melaporkan kira-kira 248,000 pesawah seluruh negara didakwa terkesan akibat ke­naikan input pertanian terutamanya harga racun dan baja yang me­ningkat antara 40 hingga 100 peratus sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd. Fuad Yaacob berkata, kenaikan harga racun meningkat sejak 2020 tetapi boleh ditampung kerana kerajaan sebelum ini memberi bantuan subsidi percuma RM300 untuk sehektar padi.

Sementara itu, Aziz berkata, terdapat juga dalam kalangan pesawah lain telah lama menjual bendang mereka kepada pemaju atau individu lain untuk dibangunkan secara komersial.

“Walaupun bukan berada dalam kawasan yang digazetkan sebagai ‘jelapang padi’, kami tahu langkah menukar tanah sawah kepada kegunaan lain boleh menjejaskan pengeluaran beras negara.

“Tetapi kami tiada pilihan dengan situasi harga baja dan racun yang semakin naik di samping bahan-bahan mentah lain yang turut sama meningkat,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Majid Zakaria, 65, turut mengakui faktor kos penanaman dan harga padi menyebabkan ramai pesawah menjual tanah mereka terutama yang terletak di pinggir bandar.

“Memang ramai petani sekitar Kota Setar menjual sawah terutama yang keluasannya kurang satu hektar kerana kos menanam padi yang meningkat setiap tahun tidak memadai untuk diusahakan.

“Saya sendiri telah menjual sawah seluas 0.6 hektar lebih 10 tahun lalu kerana mendapat tawaran yang baik ketika itu, apatah lagi kerana faktor kesihatan yang menyebabkan saya tidak lagi mampu mengusahakannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini