KUALA LUMPUR: Projek Kraf Komuniti Ku (KKK) mencatatkan RM84.7 juta nilai jualan kraf dengan penglibatan seramai 1,828 orang usahawan dan 5,650 orang komuniti sejak mula dilaksanakan pada tahun 2016.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, Projek KKK berjaya menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti dengan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam penghasilan produk kraf tempatan.
“Kejayaan ini terbukti apabila projek ini menerima anugerah dalam International Craft Award (ICA) di India bagi kategori Village Of The Year iaitu KKK Keningau pada tahun 2019, KKK Kuala Kangsar pada tahun 2020 dan KKK Lahad Datu pada tahun 2022.
“Projek KKK juga meningkatkan kemahiran komuniti kraf dari aspek pembangunan produk, pengeluaran dan pemasaran dalam perusahaan kraf di samping meningkatkan pendapatan utama mahupun sampingan melalui aktiviti sosioekonomi,” katanya semasa Majlis Apresiasi Komuniti Kraf di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 buat kali ke-20 bermula pada 1 hingga 13 Mac 2023 dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.
HKK mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti Jualan Kraf, Padanan Perniagaan, Pameran MYCRAFTSHOPPE, Pameran Standard Kraftangan Malaysia, Pameran Produk Baharu dan Hasil Kajian, Demonstrasi Kraf serta banyak lagi.
Dalam majlis ini, Khairul Firdaus menyampaikan sijil penghargaan kepada 14 orang penerima penghargaan Kraf Komuniti Ku (KKK), seorang penerima penghargaan khas iaitu PDK Wakaf Tapai Enterprise yang merupakan penggerak kepada komuniti orang kurang upaya dalam industri kraf serta seorang penerima anugerah khas Craft Champion, Emily Jeneble dari Seri Elf Enterprise.
Beliau berkata, Kraftangan Malaysia sudah mewujudkan satu inisiatif baharu iaitu Craft Champion yang bertujuan untuk mengangkat usahawan kraf yang berjaya menggerak dan memajukan komuniti kraf setempat ke tahap yang lebih tinggi menerusi aspek pembangunan produk, pembangunan kemahiran komuniti serta pemasaran secara fizikal dan digital.
“Komuniti kraf memain peranan penting sebagai peneraju yang berkemampuan meningkatkan daya saing dengan menghasilkan produk kraf yang lebih berinovasi sama ada dari segi idea mahu pun rekaan agar sentiasa relevan.
“Pemerkasaan komuniti adalah sangat penting bagi mengukuhkan warisan dan budaya kita ini. Saya yakin, jualan akan terus meningkat dengan penglibatan lebih ramai usahawan dan komuniti kraf,” katanya.
HKK turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar ke pameran jualan usahawan-usahawan dari seluruh Malaysia. – UTUSAN










