JASIN: Seramai 30 pesawah di Kampung Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai dekat sini menanggung kerugian mencecah RM300,000 selepas padi yang ditanam ditenggelami banjir.
Ketua Blok, Albar Husos, 65, berkata, kawasan seluas 48.56 hektar di Blok D dan E paling terjejas dimasuki air ketika tempoh menuai padi berbaki dua minggu lagi.
“Padi di Blok D dan E hanya menunggu masa untuk dituai dalam tempoh dua minggu akan datang, tetapi bila banjir melanda sudah tentu hasil tuaian akan merosot kerana ada padi yang rosak.
“Banjir ini pula tIdak tahu bila boleh surut walaupun tidak berlaku hujan lagi. Air termenung ini sukar untuk dijangkakan. Mungkin kita dapat tuai untuk dua tan metrik berbanding 10 tan metrik sebelum ini atau mungkin langsung tidak dapat apa-apa bila air surut nanti.
“Yang pasti seluruh 30 pesawah mengalami kerugian keseluruhan dengan anggaran RM300,000,” kataya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, terdapat 353 mangsa banjir yang berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
Meskipun hujan sudah berhenti sejak awal minggu, majoriti mangsa tidak dapat pulang ke rumah kerana penempatan mereka dilanda fenomena banjir termenung.
Seorang lagi pesawah, Jalil Atan, 55, berkata, dia bernasib baik apabila sawahnya di Blok A dan B tidak dilanda bah yang teruk seperti di Blok D dan E.
“Bencana banjir yang berlaku ini menyebabkan ramai pesawah tidak sempat menuai padi yang sudah matang. Banjir di sini dijangka lambat surut disebabkan air termenung dan padi akan rosak termasuk bercambah,” katanya. – UTUSAN









