KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pemberian peruntukan yang sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang.
Ahli Parlimen itu bagaimanapun berkata, untuk merealisasikan agihan peruntukan yang sama, proses rundingan dengan pembangkang perlu dilakukan terlebih dahulu.
Justeru, beliau mencadangkan supaya ketua whip kerajaan dan menteri berkaitan bertanggungjawab dalam rundingan dengan pembangkang nanti.
“Pada prinsipnya Arau, saya tidak menolak prinsip memberi peruntukan kepada pembangkang seperti yang diberikan kepada ahli Parlimen kerajaan. Ini pendirian saya daripada dulu tapi belum ada proses rundingan, yang ada proses permusuhan
“Tentang peruntukan, saya tidak pernah mengatakan tidak ada. Sepanjang Ahli Parlimen Pagoh (Tan Sri Muhyiddin yassin) jadi Perdana Menteri sebelum ini, kami tidak pernah dapat peruntukan, tidak mengapa.
“Kerajaan kita hari ini Madani, jadi kalau ikut yang dulu Pagoh tidak adillah, itu maksud Arau? Sebab Arau kata jangan ikut pengalaman lama yang tidak beri peruntukan kepada pembangkang. Saya tidak mahu zalim. Bincang kaedahnya. Jadi, saya cadangkan ada proses rundingan supaya kita cari kaedah yang baik,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat semalam.
Sementara itu Anwar berkata, amaun pemberian khas kepada kerajaan Sabah bernilai RM125.6 juta yang telah dinaikkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini masih berkuatkuasa hingga kini.
Katanya dalam jawapan bertulis, pemberian khas itu akan terus berkuatkuasa bagi tempoh lima tahun sehingga terdapat persetujuan formula baharu dicapai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah.
“Pada 14 Februari 2022, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan bertarikh 20 April 2022 untuk tempoh 5 tahun iaitu RM125.6 juta (2022); RM129.7 juta (2023); RM133.8 juta (2024); RM138.1 juta (2025) dan RM142.6 juta (2026).
“Namun demikian, persetujuan di atas tertakluk kepada rundingan formula di mana jika dipersetujui ia akan berkuat kuasa mulai tahun 2022. Sehingga persetujuan formula baharu dicapai, ia (kajian semula pemberian khas 2022) masih berkuat kuasa hingga kini.
“Pada 20 Januari 2023, Perdana Menteri telah mengumumkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan formula pemberian khas yang lebih baik kepada negeri Sabah dan Sarawak termasuk meningkatkan kadar pemberian khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini” katanya.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan, keputusan mengenai pemberian khas yang baharu sedang dimuktamadkan.
Januari lalu, Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.
Bagaimanapun, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula tetap diputuskan.
Untuk rekod, kajian semula Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan pertama telah dilaksana pada tahun 1969 yang membawa kepada pewartaan Perintah (Ulangkaji Pertama) Pemberian-Pemberian Khas Sarawak, 1969 [P.U.(A) 403/1969] dan Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama) 1970 [P.U.(A)328/1970].
Pewartaan tersebut telah memperuntukkan kadar Pemberian Khas sebanyak RM16 juta setahun kepada Sarawak dan RM26.7 juta setahun kepada Sabah.
Berdasarkan perintah tersebut yang masih berkuat kuasa sehingga tahun 2022, Sabah dan Sarawak sejak tahun 1973 sehingga kini masing-masing menerima Pemberian Khas sebanyak RM26.7 juta dan RM16 juta setahun. – UTUSAN










