PETALING JAYA: Kehadiran bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad ke dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dilihat tidak memberi nilai tambah terutama dalam mendepani pilihan raya negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Walaupun mempunyai individu berpengaruh dalam arena politik, keputusan memilih Putra sebagai saluran politik hanya membuatkan lebih ramai ragu kemampuan parti itu bersaing dengan gabungan politik lebih besar seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, nasib Putra yang kini dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali dijangka sama seperti yang berlaku semasa PRU15 malah mungkin lebih teruk.
“Ini kerana, pertembungan yang sebenar adalah antara PH, BN dan PN, sebab itu dikatakan ramai musykil mengapa Putra diguna sebagai wadah perjuangan Dr. Mahathir.
“Dr. Mahathir melalui Putra juga tidak akan membawa banyak perubahan ketika pilihan raya negeri nanti, kerana saya melihat orang Melayu hanya ada dua pilihan iaitu PH atau PN.
“Mungkin beliau merasakan auranya mampu menyemarakkan semangat Putra, tetapi lihatlah apa yang berlaku di Langkawi pada PRU15 semasa di dalam Pejuang. Begitu nyata mesej pengundi lebih percaya kepada PN dan BN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Senada, Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB, Sunway Universiti, Prof. Wong Chin Huat berkata, penyertaan Dr. Mahathir tidak akan mengubah keadaan kerana gelanggang politik nasionalis Melayu telah menjadi sangat ‘tepu’.
Beliau juga menyifatkan Putra sebagai parti ‘nyamuk’ yang sangat kecil berbanding parti politik arus perdana dan sukar mendapat tempat dalam pilihan raya.
“Tiada ruang untuk parti kecil seperti Putra di dalam arena politik dan pilihan raya. Saya jangka Dr. Mahathir pula akan membuat kenyataan-kenyataan pedas dan sekurang-kurangnya dari semasa ke semasa mengingatkan rakyat Malaysia akan kewujudan beliau tetapi tiada kesan lebih daripada itu,” katanya.
1 Mac lalu, Dr. Mahathir memilih Putra sebagai saluran untuk memperjuang hak orang Melayu tanpa mengetepikan kepentingan kaum-kaum lain.
Pada 10 Februari lalu, beliau bersama 12 ahli lain keluar daripada Pejuang yang diasaskannya ekoran tindakan parti dipimpin Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memutuskan hubungan dengan GTA.
Putra telah menetapkan 7 Mac hingga 6 April untuk mengadakan mesyuarat agung bahagian, 7 Mei untuk persidangan perwakilan peringkat pusat, manakala pemilihan barisan kepimpinan dicadangkan pada 8 April ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), GTA yang dipengerusi Dr. Mahathir dan bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi Parlimen.
Beliau sendiri kalah teruk di tangan calon PN dengan majoriti 13,518 undi, malah hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi. – UTUSAN










