KOTA KINABALU: Penyertaan tujuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Parti Warisan (Warisan) ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah pun diterima.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.
Hajiji berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak ke dalam Gagasan Rakyat.
“Itu hak mereka untuk menentukan pendirian dan masa depan politik mereka jadi, bagi saya, kita mengalu-alukan penyertaan mereka.
“Kita mahu memberi fokus kepada satu perpaduan yang jitu serta usaha untuk memajukan negeri dan memberi khidmat kepada rakyat terutama di kawasan masing-masing,” katanya.
Empat bekas ADUN UMNO yang mengumumkan keluar parti bagi menyertai Gagasan Rakyat ialah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung).
Sementara itu, tiga bekas ADUN Warisan yang menyertai Gagasan Rakyat ialah Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).
Selepas itu, dua lagi ADUN Warisan keluar parti bagi menyertai Gagasan Rakyat dan mereka ialah Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas) dan George Hiew Vun Zin (Karamunting).
Mengenai pendirian Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony yang kembali menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji enggan mengulas tentang perkara itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), parti KDM yang sebelum ini mesra kepada GRS telah bertindak melanggar beberapa kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan termasuk Parlimen Kota Marudu yang dimenangi oleh calon KDM.
Semasa kemelut politik Sabah pada awal Januari lalu, KDM tidak menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri sebaliknya, Peter dilihat bersama dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dipercayai mengetuai Langkah Kinabalu yang dikatakan telah gagal.-UTUSAN










