Penutupan premis judi: Perlis perhalusi aspek perundangan sebelum tindakan lanjut - Utusan Malaysia

Penutupan premis judi: Perlis perhalusi aspek perundangan sebelum tindakan lanjut

FAKHRUL ANWAR ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri sedang meneliti secara mendalam berhubung aspek perundangan sebelum mengambil langkah seterusnya bagi menghentikan lesen operasi bagi premis perjudian dan loteri di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, sehingga kini, langkah bagi menghentikan lesen berkenaan menunjukkan perkembangan positif di mana tiada permohonan baharu diterima untuk kelulusan kerajaan negeri bagi pembukaan premis perjudian di negeri ini.

Katanya, perkara ini juga merupakan persoalan dasar negeri yang perlu diputuskan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan ke arah pelaksanaan tersebut dan ia sedang diteliti secara mendalam khususnya daripada aspek perundangan sebelum langkah seterusnya diambil,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN negeri di sini hari ini.

Fakhrul Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dibangkitkan Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) berhubung sama ada kerajaan negeri benar-benar serius untuk menghentikan lesen operasi premis judi dan loteri di negeri ini.

Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan bagi menghentikan lesen operasi premis judi dan loteri di negeri ini sebagaimana dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah.

Dalam pada itu, Fakhrul Anwar berkata, lesen bagi operasi perjudian dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) pula mengeluarkan lesen premis perniagaan bagi tujuan menjalankan aktiviti berkenaan berpandukan kepada lesen operasi daripada pihak kementerian.

“Justeru, walaupun Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mempunyai bidang kuasa sama ada untuk mengeluarkan lesen atau tidak, namun langkah untuk menghentikan operasi premis perjudian memerlukan penyelarasan bersama pihak-pihak terlibat khususnya Kementerian Kewangan.

“Langkah ini adalah bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur tanpa sebarang isu berbangkit kelak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya