KUALA LUMPUR: Seorang peniaga wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai meninggalkan cucu lelakinya berusia dua tahun dalam kereta sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak itu, bulan lalu.
Nooriza Samsudin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan, sebagai penjaga kepada kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan, wanita itu didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian mangsa akibat strok haba di dalam sebuah kereta di tepi jalan berhadapan Plaza Medan Idaman di Jalan Gombak di sini antara 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang pada 25 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Triperjit Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dalam anggaran RM5,000.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN