Penglibatan rakyat bantu atasi masalah 'projek gajah putih' - Utusan Malaysia

Penglibatan rakyat bantu atasi masalah ‘projek gajah putih’

NGA Kor Ming (dua dari kanan) menyampaikan piala kepada Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan selepas MPK diumum pemenang tempat pertama Pertandingan Inovasi MALA 2.0: Piala Menteri KPKT pada Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023 di Pusat Konvensyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penglibatan masyarakat diperlukan dalam perancangan kemajuan bandar bagi memastikan sesuatu rancangan pembangunan tidak berakhir sebagai ‘projek gajah putih’.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, suara rakyat ini membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) benar-benar membangun dan memajukan bandar berdasarkan keperluan rakyat.

“Sebab itu mulai tahun ini, kita tetapkan semua projek baharu di bawah KPKT, wajib untuk dijalankan ‘feasibility study‘ atau Kajian Kebolehlaksanaan yang berkecuali secara profesional supaya semua projek yang bakal dilaksanakan menepati kriteria ditetapkan.

“Kajian itu perlu melibatkan rakyat, khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

“Dengan pendekatan baharu ini, maka tiada lagi projek-projek gajah putih yang terbengkalai seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan 2023 di Pusat Konvensyen Ipoh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain Kajian Kebolehlaksanaan, KPKT juga akan mempertimbangkan projek-projek baharu melalui pelaksanaan kajian berdasarkan Pulangan Pelaburan, Analisis Kos Faedah dan Indeks Kesahan dan Kebolehpercayaan.

Katanya, dapatan kajian-kajian tersebut akan memberi fokus yang jelas dan nyata serta menghindarkan ketirisan perbelanjaan atau senario projek gajah putih.

“Dulu memang ada (projek terbengkalai), kita tidak nafikan. Jadi, projek gajah putih yang terbengkalai dulu kita akan cuba untuk selamatkan.

“(Mana) yang tidak dapat diselamatkan itu, memang kita berasa amat kesal, tapi mulai sekarang kita bagi fokus kepada menaiktaraf projek-projek sedia ada seperti penaiktarafan pasar awam,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Kor Ming turut menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Inovasi MALA 2.0: Piala Menteri KPKT yang dimenangi Majlis Perbandaran Klang (MPK) di tempat pertama diikuti Majlis Daerah Marang (MDM) di tempat kedua dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di tempat ketiga.

Selain itu, pengiktirafan turut diberikan kepada PBT yang cemerlang melalui Anugerah Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) 2022 yang dimenangi Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) di tempat pertama dan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) di tempat kedua bagi kategori daerah.

Bagi kategori perbandaran pula dimenangi Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan Perbadanan Putrajaya di tempat kedua.

Kategori majlis bandaraya pula menyaksikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di tempat pertama dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di tempat kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya