MELAKA: Misteri Bukit Beruang di sini terus menjadi buah mulut masyarakat sekitar selepas mayat seorang lelaki berusia 45 tahun, Steven Tan Kim Huat yang hilang hampir empat hari ketika mendaki di situ, ditemukan dua pengamal paranormal Sabtu lalu.
Ada yang mengaitkan kehilangan mangsa dengan unsur-unsur mistik memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K-9) gagal menemukan sebarang petunjuk, walaupun melalui lokasi Steven ditemukan beberapa kali dalam tempoh 36 jam pencarian.
Penduduk turut mendakwa, terdapat sebuah perkampungan bunian di bukit berkenaan dan kisah masyarakat silam di situ meminjam pinggan mangkuk dari kampung berkenaan untuk mengadakan kenduri, terus menjadi cerita lisan diperturunkan generasi ke generasi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin berkata, bukit-bukit di Melaka lazimnya digunakan bagi tujuan peperangan pada zaman dahulu.

Beliau berkata, selain kegunaan untuk tujuan strategi seperti lokasi meninjau kedudukan musuh, kawasan berbukit menjadi kubu pertahanan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Kita ada dengar dulu Bukit Beruang, tempat atas bukit dan tempat perang. Orang dulu gunakan bukit itu untuk strategi. Macam dekat Duyong, Bukit Duyong digunakan sebagai kubu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Sebagai kubu untuk pertahanan, mungkin Bukit Beruang itu orang dulu-dulu juga gunakan untuk kubu pertahanan. Jadi tidak mustahil wujud cerita-cerita mistik seperti didakwa penduduk,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kemunculan dua ekor biawak bersaiz besar yang dianggap luar biasa dan kicauan kuat sekawan burung menjadi antara petanda awal kepada penemuan Steven yang hilang ketika mendaki Bukit Beruang pada 14 Mac lalu.
Badan mangsa ditemukan berhampiran anak sungai di trek pendakian terbiar yang dikatakan sudah lama tidak digunakan kira-kira pukul 10.25 pagi, oleh dua pengamal paranormal.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, pihaknya mengesan lebih 15 laluan tikus untuk masuk dan keluar dari bukit berkenaan.
Beliau menasihatkan orang ramai yang ingin mendaki Bukit Beruang supaya menggunakan tiga laluan rasmi yang disediakan pihak berwajib sebagai trek pendakian bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – UTUSAN










