Pendakwa kes Syed Saddiq bangkit isu keterangan saksi pembelaan bercanggah

Pendakwa kes Syed Saddiq bangkit isu keterangan saksi pembelaan bercanggah

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan isu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa keterangan seorang saksi pembelaan bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertikaian itu ditimbulkan apabila saksi pembelaan kedua, Mohamed Amshar Aziz, 30, mengaku mengetahui Ahli Parlimen Muar itu menggunakan simpanan sendiri untuk membiayai kerja-kerja khidmat dan kempen sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Bagaimanapun, keterangan di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikannya kepada SPRM ketika siasatan bahawa beliau tidak mengetahui Syed Saddiq menggunakan wang sendiri untuk penganjuran 10 kempen berkenaan.

Pada sesi pemeriksaan balas hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menyatakan, saksi berkenaan dalam pernyataan kepada SPRM dua tahun lalu mengaku tidak mengetahui Syed Saddiq menggunakan simpanan sendiri untuk kempen pilihan raya.

Wan Shaharuddin: Pernyataan ini diberikan kepada SPRM dua tahun lalu, kamu bersetuju ia bercanggah dengan keterangan di mahkamah?

Amshar: Tidak bercanggah.

Wan Shaharuddin: Wujud percanggahan material kerana keterangan kamu di mahkamah berbeza dengan pernyataan kepada SPRM?

Amshar: Tidak.

Dalam keterangannya, bekas pegawai khas Syed Saddiq itu menyatakan, sebanyak RM171,675 diisytiharkan sebagai perbelanjaan sepanjang kempen PRU14 melalui Borang B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang turut dilampirkan dengan resit.

Menurut Mohamed Amshar, Ahli Parlimen Muar itu menggunakan simpanan sendiri untuk perbelanjaan pengiklanan bendera, poster, bunting, penginapan pekerja dan sebagainya. Saksi tersebut menyatakan, Syed Saddiq sendiri membayar elaun beliau membantu kerja-kerja khidmat dan kempen sejak awal 2018 termasuk mengurus majlis meraih dana di Ampang, bukan menggunakan wang Armada atau Bersatu.

“Saya sahkan perolehan majlis meraih dana itu adalah hak Syed Saddiq tanpa penglibatan Bersatu atau Armada. Jadi kutipan dana bukan milik kedua-duanya mahupun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE),” ujar saksi itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 30, yang didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya