Pembelaan tutup kes Syed Saddiq selepas kemuka keterangan 4 saksi - Utusan Malaysia

Pembelaan tutup kes Syed Saddiq selepas kemuka keterangan 4 saksi

SYED Saddiq Syed Abduk Rahman (kanan) dan dua peguamnya hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa atas pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), menutup kesnya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian menetapkan pihak-pihak memfailkan penghujahan bertulis sebelum 3 April manakala penghujahan lisan dan klarifikasi ditetapkan pada 10 dan 11 April ini.

Mahkamah menetapkan demikian selepas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu memaklumkan pihak pembelaan menutup kesnya hari ini selepas mengemukakan keterangan empat saksi pembelaan pada perbicaraan yang bermula pada 22 Februari lalu.

Selain Syed Saddiq yang juga Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), saksi-saksi lain terdiri daripada bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Terdahulu, Siti Nurul Hidayah yang menyambung keterangannya berkata, laporan polis yang dibuat berhubung dakwaan beliau dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai SPRM ketika siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020, adalah benar.

Menurut saksi pembelaan keempat itu, beliau juga pernah berjumpa dengan pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat kes Syed Saddiq.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung kebenaran laporan polis yang dibuatnya, Siti Nurul Hidayah berkata beliau hanya diiringi oleh dua pegawai wanita sebelum lima lagi pengawai lelaki menghampirinya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq (saksi pembelaan pertama) yang dipanggil semula untuk memberi keterangan turut membuat pengecaman ke atas Ihsan atau nama sebenarnya Mohd. Ihsan Sapuan.

Dalam prosiding sebelum ini, Syed Saddiq dirujuk dengan transkrip rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan antara Syed Saddiq dengan Ihsan.

Dalam transkrip itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bekas Perdana Menteri tersebut yang membawa beliau memasuki Bersatu, masih mengambil berat terhadapnya dan memaklumkan bahawa SPRM menjadi ‘alat’ apabila berlaku pertukaran kerajaan.

Pada 27 September 2022, pendakwaan menutup kesnya selepas 30 saksi selesai memberi keterangan pada perbicaraan bermula 21 Jun 2022.

Saksi terbabit termasuk ibu dan bapa Syed Saddiq, iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali.

Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.