PETALING JAYA: Pemimpin dalam kalangan profesional perlu dilantik menerajui UMNO bagi memberi nilai tambah kepada parti itu selain membawa naratif baharu politik Melayu.
Penganalisis politik, Prof. Madya. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, perkara itu penting terutama apabila UMNO merupakan antara tonggak di dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), pimpinan yang bakal terbentuk itu perlu mencari pendekatan baharu dalam mendekati rakyat selaku pengundi khususnya golongan muda yang sebelum ini iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jumlahnya mencecah 10.6 juta orang.
“Naratif baharu itu bagaimana UMNO mahu membawa orang Melayu menjadi berdaya saing, berfikiran maju dan terbuka seperti mana di dalam gagasan Malaysia Madani. Kedua, sudah pasti kita mahukan pemimpin yang berintegriti, berjiwa besar serta mengutamakan kepentingan parti.
“Antara ciri-ciri paling penting adalah pemimpin itu perlu ada penglibatan profesional dan teknokrat, bukan ahli politik semata-mata. UMNO perlu memperbanyakkan pemimpin-pemimpin sedemikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Antara yang menjadi perhatian selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan adalah Naib Presiden yang menyaksikan pertembungan antara lapan calon iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Mohd. Izani berkata, antara lapan calon Naib Presiden, UMNO perlu membawa naik tiga pemimpin yang bertaraf nasional bukan negeri yang mana potensi mereka sudah pun diuji di peringkat Persekutuan.
Sementara itu, mengulas mengenai dua jawatan yang juga hangat diperkatakan iaitu Ketua Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Mohd Izani berpendapat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menepati ciri-ciri dimahukan pengundi baharu.
“Bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO, kedua dua calon iaitu Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mempunyai peluang sama rata. Namun, kemunculan kembali Shahrizat menimbulkan persoalan besar, mungkin ada sesuatu tidak kena dalam pergerakan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN