PETALING JAYA: Inisiatif produk jual beli emas menerusi konsep patuh syariah mampu berkembang dalam membantu ke arah penyelesaian pemulihan ekonomi.
Pengarah Angsa Emas Jewellery, Datuk Zulhilmi Mukhtar berkata, pihaknya akan memperkenalkan konsep tersebut satu usaha untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi umat Islam.
Katanya, inisiatif itu juga mampu dijadikan sebagai aset dan memberi pulangan termasuk sebagai aset dalam keadaan terdesak.
“Selain wang tunai, orang ramai boleh menyimpan emas sebagai benteng kewangan terakhir dengan menjual atau memajaknya untuk mendapatkan wang tunai segera.
“Ia juga dapat memberi pilihan kepada individu, pemilik syarikat dan masyarakat secara amnya untuk meningkatkan tahap ekonomi di samping menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zulhilmi berkata, pihaknya kini turut merancang melaksanakan transaksi jual beli emas secara bersemuka dan atas talian disamping memperluaskan cawangan perniagaan pada tahun ini.
“Kita juga menawarkan peluang pelaburan kepada pelabur dengan menjadi pelopor perniagaan patuh syariah di Malaysia,” katanya. – UTUSAN