KUALA LUMPUR: Polis akan mencadangkan melanjut tempoh operasi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) selama 24 jam sehari bagi menangani jenayah penipuan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan meminta Bank Negara Malaysia (BNM) selaku pengendali utama NSRC untuk memanjangkan tempoh operasi bagi memudahkan orang ramai membuat laporan.
“Nombor talian 997 diperkenal oleh NSRC yang diketuai oleh BNM dan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi lain.
“Buat masa ini waktu operasi NSRC dari pukul 8 pagi hingga 8 malam. Rramai yang membuat panggilan pada selepas 10 malam, namun tiada respon daripada NSRC. Kita akan meminta waktu operasi NSRC itu dilanjutkan sehingga 24 jam,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Acryl Sani, NSRC mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat namun masih ada yang ragu-ragu dengan nombor hotline tersebut.
Beliau berkata, mana-mana individu yang terpedaya dan telah melakukan transaksi, mereka boleh membuat panggilan di talian 997 untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas akaun tersebut.
“Tujuan nombor talian itu adalah untuk mengurangkan kesan penipuan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap mangsa,” katanya.
NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.
NSRC menggabungkan kerjasama PDRM, BMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC) sebagai inisiatif membendung penipuan secara dalam talian.
Dalam pada itu, beliau berharap penggunaan kamera badan dapat direalisasikan tahun ini.
Malah, beliau turut menggalakkan penggunaan kamera badan untuk pegawai bertugas sejak memegang Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi lagi.
“Kamera badan ini berfungsi seperti kamera papan pembuka (dash) bagi merekodkan kejadian sekiranya berlaku perkara di luar kawalan.
“Saya harap dapat dilaksanakan pada tahun ini selepas ia tertangguh,” ujarnya.- UTUSAN