Pastikan bekalan asas di PPS cukup - Sultan Johor - Utusan Malaysia

Pastikan bekalan asas di PPS cukup – Sultan Johor

SULTAN IBRAHIM berkenan melawat mangsa di beberapa PPS yang dibuka akibat banjir di sekitar Batu Pahat.

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu memastikan bekalan keperluan rakyat, khususnya bagi mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa mencukupi.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pihak berkuasa serta jabatan dan agensi berkaitan perlu memastikan perkara tersebut supaya kesejahteraan puluhan ribuan mangsa terjamin.

“Pada masa sama, kepada semua pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi banjir sentiasa berhati-hati sewaktu menjalankan tugas anda,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hari ini, Sultan Ibrahim berkenan melawat dan menyantuni mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar daerah Batu Pahat, antaranya PPS Sekolah Agama Taman Sri Kota, Yong Peng yang menempatkan 380 mangsa; PPS SMK Dato’ Seth (357 mangsa), PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani (431 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Sri Medan (236 mangsa).

Dalam lawatan tersebut, baginda turut menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Malaysia Retail Chain Association (MRCA) serta meluangkan masa beramah mesra dan memberikan kata-kata semangat serta meninjau persekitaran PPS.

Hingga pukul 12 tengah hari tadi, Batu Pahat merupakan daerah paling terjejas akibat banjir di negeri ini dengan mencatatkan seramai 23,370 mangsa daripada 6,602 keluarga yang ditempatkan di 78 PPS. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN