KUALA LUMPUR: Tiada sebarang campur tangan luar sehingga mendorong Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan UMNO daripada dibatalkan pendaftaran mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Ia selepas Saifuddin memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, ekoran usul tambahan yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertanding pada pemilihan parti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin UMNO telah mengikut proses perundangan sewajarnya selaras Akta Pertubuhan 1966.
Ini meskipun terdapat dua ahli UMNO sebelum ini memfailkan notis bantahan kepada RoS, kerana mendakwa keputusan tidak mempertanding dua jawatan itu tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.
“Kita juga terus berikan segala maklum balas diterima RoS dan kita (UMNO) merasakan ini bukan soal campur tangan oleh pihak luar.
“Namun, apabila Perhimpunan Agung UMNO sudah buat keputusan dan keputusan itu diterima lebih 95 peratus perwakilan, maka kita masih santuni aduan yang dibuat oleh dua ahli UMNO itu.
“Kita rasakan ini bukan soal campur tangan pihak luar tetapi ini suatu klausa Akta Pertubuhan 1966 yang antara lain, bahawa RoS perlu berikan keabsahan terhadap sesuatu keputusan,” katanya pemberita semasa sidang media di Parlimen hari ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menyebut nama menteri dalam sidang media hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat selepas bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mendakwa parti itu mengheret Saifuddin dalam isu pembatalan pendaftarannya.
Semalam, Saifuddin berkata, sekiranya ahli UMNO yang membawa isu berkenaan kepada RoS sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawanya ke mahkamah.
Beliau menjawab soalan beberapa ahli Parlimen ketika perbahasan Belanjawan 2023 yang mempertikai keputusannya menggunakan Seksyen 70 akta berkenaan untuk mengecualikan Seksyen 13(1)(c)(iv) daripada digunakan terhadap UMNO.
Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan bahawa Pendaftar boleh membatalkan mana-mana pertubuhan sekiranya secara sengaja melanggar mana-mana peruntukan akta.
Sementara Saifuddin sebagai menteri, beliau diberi peruntukan untuk mengecualikan sesebuah pertubuhan daripada tertakluk mana-mana peruntukan selaras Seksyen 70 akta sama.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang telah diluluskan semasa PAU 2022.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa Zahid mendedahkan surat itu kerana menurutnya terdapat laporan media yang bercanggah.
Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO memfailkan notis bantahan kepada RoS ketetapan untuk tidak mempertanding dua jawatan itu yang didakwa tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti.-utusan