KUALA LUMPUR: Rancangan jangka panjang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mengatasi harga tambang penerbangan yang terlalu tinggi antara Semenanjung dan Sabah terutama semasa musim perayaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) dijangka bertanya soalan itu kepada Menteri Pengangkutan menerusi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pukul 10 pagi ini.
R. Yuneswaran pula meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dapat membantu isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar menjana pendapatan serta bagaimana kementerian itu dapat memastikan 100,000 miskin tegar dapat terlibat dalam IPR itu.
Jimmy Puah Wee Tsee (PH-Tebrau) pula meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian kerajaan Malaysia terhadap situasi di Myanmar menyaksikan kerajaan yang sah dan dipilih melalui proses undi demokrasi telah diguling oleh junta tentera melalui langkah Kudeta pada Februari 2021.
Sementara itu, bagi sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) akan bertanya kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jika kerajaan bercadang melaksana skim pencen warga emas untuk rakyat berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Wan Hassan Mohd. Ramli (PN-Dungun) meminta Menteri Pendidikan menyatakan keputusan mengenai penyelesaian masalah bagi meringankan beban beg berat dalam kalangan pelajar terutama sekolah kebangsaan.
Beliau juga akan bertanya jika kerajaan bercadang menukarkan bahan sistem pendidikan secara fizikal kepada digital yang dapat menjimatkan perbelanjaan kementerian dalam kos buku teks dan lain-lain.
Seterusnya, RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Kementeri Kewangan menyatakan jika kerajaan akan memperkenal semula cukai jualan dan perkhidmatan (GST) yang dikatakan membebankan rakyat sebelum ini.-utusan