Pakatan parti Kerajaan Perpaduan guna logo sendiri hadapi PRN

Pakatan parti Kerajaan Perpaduan guna logo sendiri hadapi PRN

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika sesi dialog bersama media di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Barisan Nasional (BN) menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri adalah dalam pengetahuan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan antara kepimpinan kedua-dua gabungan parti BN dan PH secara tidak formal iaitu bukan menerusi platform rasmi.

Beliau menjelaskan, aspek penggunaan logo adalah dalam domain keputusan gabungan politik masing-masing kerana Kerajaan Perpaduan tidak ada logo sendiri buat masa ini.

“Jadi PH ada logonya dan BN ada logonya. Dalam konteks itulah Pengerusi BN membuat keputusan dalam domain mereka. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ada memaklumkan secara tidak formal, kami berjumpa hampir setiap hari, kami berbincang pelbagai perkara termasuklah tentang perkara ini.

“Ia adalah dalam pengetahuan kita kerana kita bersembang, berjumpa dekat Parlimen, tanya tentang sambutan di Kedah, di Pualu Pinang atau mengenai sokongan undi Melayu. Ia adalah keputusan gabungan poltiik yang berbeza,” katanya dalam sesi dialog bersama media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Majlis Rundingan Kerajaan Perpaduan yang diwakili lima gabungan pakatan parti terbesar telah mengadakan perbincangan mengenai pelbagai perkara.

Katanya, selain sebagai platform membuat keputusan dasar tentang hala tuju Kerajaan Perpaduan, ada tiga kerangka yang membantu Kerajaan Perpaduan bergerak.

“Antara tiga kerangka itu ialah jawatankuasa pilihan raya yang secara kebetulan bakal menghadapi PRN dan Majlis Rundingan berbincang dan menumpukan berkenaan agenda pilihan raya.

“Di peringkat PH dan BN rundingan tentang formula agihan kerusi telah pun dibuat. Ia tidak selesai lagi, kena ada siri-siri rundingan dan kami bersetuju dengan beberapa parameter yang akan memandu proses perundingan agihan kerusi,” katanya.

Mengulas mengenai kekesalan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana partinya tidak menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat pertama wakil parti membentuk Kerajaan Perpaduan, Saifuddin mengesahkan, Muda akan terlibat dalam mesyuarat tiga sekretariat utama dan bukan dalam Majlis Rundingan.

Ini kerana, katanya, ia telah pun disepakati kesemua parti ketika menandatangani memorandum persefahaman Kerajaan Perpaduan kerana parti itu bukan dalam lima tonggak pakatan terbesar yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Mesyuarat tiga sekretariat itu ialah soal pilihan raya, jawatankuasa pemantauan dasar kerajaan dan aspek komunikasi.

“Itu kedudukan yang boleh disebut iaitu Muda terlibat dalam mesyuarat tiga sekretariat itu. Ini kedudukan yang telah disepakati. Muda bersetuju dan ia jelas dalam MoU,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya