Orang Asli diarah pindah beri laluan projek Musang King - Utusan Malaysia

Orang Asli diarah pindah beri laluan projek Musang King

ALANG Apok Sitam (tiga dari kanan) bersama wakil penduduk menyerahkan memorandum aduan pencerobohan tanah adat Orang Asli kepada wakil Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk Orang Asli Kampung Sungai Sinju, Simpang Pulai dekat sini mendakwa tanah adat mereka diceroboh untuk projek tanaman durian Musang King yang diusahakan oleh sebuah syarikat.

Lebih membimbangkan, penduduk kampung itu yang terdiri daripada 163 orang mungkin hilang tanah adat yang mereka diami sejak turun temurun apabila menerima notis mengosongkan kawasan yang mereka diami bagi memberi laluan kepada projek tersebut.

Tok Batin kampung tersebut, Alang Apok Sitam, 66, berkata, mereka menerima notis tersebut pada 23 Februari lalu dan diarah mengosongkan kawasan yang terlibat dalam tempoh 30 hari.

Menurutnya, tindakan tersebut dibantah penduduk kerana bukan sahaja tanah adat mereka diceroboh tetapi kini mungkin hilang tempat tinggal hanya untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penanaman durian.
.

“Kami menyedari hutan di kampung kami telah dibersihkan apabila terlihat jentera-jentera berat mula memasuki kampung ini pada 26 September lalu dengan menolak pokok-pokok dalam dusun.

“Bukan sahaja pokok buah-buahan ditolak, hasil hutan seperti buluh, bertam dan kayu yang digunakan untuk membina rumah kami turut dimusnahkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum aduan pencerobohan tanah adat Orang Asli kepada wakil Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Alang Apok berkata, arahan mengosongkan tanah kampung mereka menyebabkan mereka umpama setinggan meskipun telah tinggal di kawasan itu lebih tujuh dekad lalu.

Menurutnya, mereka umpama menceroboh di tanah yang diduduki nenek moyang mereka.

“Projek yang dijalankan ini tanpa pengetahuan kami menyulitkan lagi kehidupan penduduk di kampung ini.

“Ke mana lagi kami hendak pindah, inilah satu-satunya penempatan yang kami ada,” katanya.

Menurutnya, penduduk memohon campur tangan kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat aduan berhubung masalah itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kami turut berharap kerajaan negeri menyemak semula pemberian milik tanah tersebut dengan mengambil kira kebajikan masyarakat suku Temiar di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya