PETALING JAYA: Ramadan yang memasuki hari ketiga hari ini mendatangkan kegelisahan buat mangsa keganasan rumah tangga, Nurul Shuhada Mat Shukri selepas menerima surat saman daripada pihak ketiga.
Kongsinya, saman itu dituntut berdasarkan penulisan di Instagram bertarikh 15 Februari lalu, berkaitan ucapan terima kasih kerana menghancurkan hatinya dan anak-anak.
Disebabkan itu, ibu dua anak ini berkata, dia berasa susah hati kerana belum pernah mempunyai pengalaman ke mahkamah, apatah lagi rungsing memikirkan jumlah tuntutan ganti rugi tersebut.
“Saya ini baru mula hendak mencari pendapatan sendiri. Saya cuba buat perniagaan @shelupshelup. Selagi ada rezeki, saya usahakan. Buat simpanan saya dan anak-anak.
“Waktu jadi suri rumah dulu, saya tak menyangka perkara ini akan terjadi. Waktu dulu, tidak sedar penting ada simpanan. Patutnya perlu lebih sedia, langit tak selalu cerah,” tulisnya di Instagram, hari ini.
Walaupun merasakan dirinya seperti jatuh ditimpa tangga selepas proses perceraian, Nurul Shuhada tetap cekal dan akan terus bangkit dalam perjuangan itu.
“Selepas kes mahkamah syariah, kes keganasan rumah tangga dan yang ini pula. Tak Apa! Saya perlu bangkit. Jangan kalah.
“Saya kena kuat dan ini perjuangan saya. Saya hendak bagi contoh pada anak-anak kena kuat berjuang, jangan biar dibuli dan dipijak-pijak.
“Biarlah satu ketika dulu saya silap, terlalu percaya,” luahnya.
Selasa lalu, kemelut rumah tangga pelakon, Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada memasuki episod baharu apabila pelakon itu didakwa pernah melafazkan cerai lebih awal, Januari lalu.
Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 9 Mei depan bagi sebutan semula kes cerai Hafidz dan Shuhada berhubung isu lafaz cerai yang dibuat Hafidz, sebanyak dua kali.