KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan untuk mencabar pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di sini secara dalam talian pada pukul 8 malam melalui firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Menurut afidavit yang difailkan, Muhyiddin selaku pemohon kedua mendakwa sejak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjadi kerajaan telah wujud satu konspirasi melalui tohmahan palsu dan fitnah jahat telah disebarkan demi menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam dan menyemarakkan keresahan rakyat terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dan parti tersebut.
Muhyiddin juga mendakwa larangan perjalanan yang dikenakan Jabatan Imigresen dilakukan untuk mencemar nama baiknya seolah-olah Presiden Bersatu itu telah melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.-utusan










