PETALING JAYA: Penganjuran mogok yang dikatakan akan dilakukan oleh kumpulan doktor kontrak minggu depan seharusnya tidak mengejutkan kerajaan kerana kekecewaan yang dirasai telah melepasi had mereka.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, persatuan itu tidak menyokong mogok sebagai satu cara untuk mendapatkan kerajaan menangani isu mereka namun dapat difahami mengapa laluan ini diambil kerana kerajaan dahulu dan sekarang tidak dapat menangani isu tersebut.
“Doktor kontrak berasakan mereka tidak ke mana dan sukar menjalankan tugas dengan perasaan tidak menentu ini. MMA juga sudah berjuang keras untuk menyelesaikan isu mereka dan kami bersetuju bahawa tiada progres yang memuaskan dalam isu jawatan tetap yang berlarutan selama bertahun-tahun ini.
“Jawatan tetap tidak mencukupi dan doktor kontrak bekerja lebih masa dan gaji masih rendah. Bagaimanapun, doktor-doktor ini diharap dapat menjalankan tugas mereka kerana dikatakan sebagai khidmat untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Muruga Raj berkata, 1,500 jawatan yang diumumkan dalam Bajet 2023 tidak jauh berbeza dengan 1,500 jawatan tetap yang dijanjikan setiap tahun sepanjang tempoh Menteri Kesihatan sebelum ini dan baru-baru ini.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menolak cadangan menaikkan elaun tugasan atas panggilan (on-call) doktor kontrak. Hampir tidak ada berita yang menggalakkan untuk doktor kontrak.
“Kami menggesa kumpulan doktor kontrak ini untuk tidak meneruskan mogok kerana ia boleh menjejaskan penjagaan pesakit di kemudahan penjagaan kesihatan awam dan menyebabkan rakan sekerja memikul tanggungjawab tambahan di kemudahan penjagaan kesihatan awam kami yang sudah sesak.
“Pada masa yang sama, kami menggesa kerajaan mempercepatkan penyampaian janji untuk membantu doktor kontrak. Doktor kontrak sudah menunggu terlalu lama. Mari kita berusaha ke arah penyelesaian sekarang sebelum terdapat lebih banyak brain drain.
“Walaupun isu doktor kontrak diwarisi dan merupakan hasil daripada dasar yang gagal pada masa lalu, kementerian kesihatan dan kerajaan hari ini mesti bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku mogok,” katanya. – UTUSAN










