KPM mansuh SPLKPM bermula tahun depan

KPM mansuh SPLKPM bermula tahun depan

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) yang dibangunkan untuk memudahkan urusan berkaitan latihan guru dan warga pendidik dimansuhkan pada tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu akan memberi ruang kepercayaan sepenuhnya kepada guru.

“KPM mansuhkan Sistem SPLKPM tahun hadapan. Sepenuh kepercayaan diberi kepada guru,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

SPLKPM ialah singkatan kepada Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibangunkan untuk memudahkan urusan berkaitan latihan guru dan warga pendidik, khususnya dalam pendaftaran, rekod kursus, serta pengurusan sijil secara dalam talian.

Pada asalnya, sistem ini dikenali sebagai e-SPLG (Sistem Pengurusan Latihan Guru), namun telah ditambah baik dengan memperkenalkan beberapa sub modul baharu dan menjadikan lebih sistematik dalam merekod serta menguruskan maklumat latihan guru, termasuklah mata e-pembelajaran SPLKPM.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen Facebook Fadhlina mendapati ramai guru melihat pemansuhan tersebut dapat mengurangkan beban warga pendidik.

Rata-rata guru menzahirkan syukur dengan pengumuman itu yang dinanti mereka selama ini.

Kata seorang guru, proses pengesahan kursus dalam talian didakwa membebankan apabila setiap pengesahan memerlukan sehingga 12 kali, selain berdepan pelbagai gangguan teknikal yang melambatkan urusan mereka.

Menurut seorang guru, jika sebuah sekolah mempunyai 77 orang guru, jumlah klik yang diperlukan mencecah ratusan malah ribuan kali untuk menyiapkan keseluruhan pengesahan.

“Kami duduk berjam-jam di depan komputer hanya untuk siapkan proses pengesahan kursus. Pernah berlaku, empat jam hanya untuk sahkan rekod empat orang guru,” katanya di ruangan komen Facebook Fadhlina.

Mereka berharap kerajaan dan pihak bertanggungjawab dapat menambah baik infrastruktur sistem berkaitan supaya guru dapat menumpukan masa kepada pengajaran dan tugas profesional lain tanpa perlu berdepan gangguan teknikal berulang.

“Berita yang ditunggu oleh para guru dan kakitangan KPM, terima kasih YB Menteri,” komen seorang guru.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN