Mahu wujudkan LaWa di setiap negeri - Utusan Malaysia

Mahu wujudkan LaWa di setiap negeri

NANCY SHUKRI mendengar penerangan daripada seorang peserta yang mengikuti sesi kemahiran menghasilkan produk sewaktu sesi lawatan kerja ke LaWa cawangan Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak menolak kemungkinan mewujudkan Laman Wanita (LaWa) di setiap negeri sebagai pusat khusus untuk menjalankan aktiviti atau program yang boleh memperkasakan golongan tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagaimanapun, ia bergantung kepada bajet yang diluluskan bagi tujuan tersebut.

Ketika ini, menurur beliau, LaWa yang diletakkan di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai 14 cawangan di tujuh buah negeri iaitu Pulau Pinang; Kedah; Negeri Sembilan; Melaka; Johor; Kelantan serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Daripada jumlah itu, tambah beliau, Pulau Pinang mempunyai lima cawangan LaWa iaitu masing-masing di Bukit Bendera; Bukit Mertajam; Kepala Batas; Tasek Gelugor dan Nibong Tebal.

“Sepanjang tahun lepas hingga Februari lalu, sebanyak 212 program telah dianjurkan di LaWa dan ia sentiasa mendapat sambutan yang sangat baik daripada komuniti terdiri daripada ibu tunggal serta suri rumah.

“Antaranya termasuk program kemahiran industri makanan seperti produk pastri, penghasilan biskut dan kuih tradisional selain program seni jahitan pakaian serta jahitan kreatif yang juga membantu peserta menjana pendapatan.

“Saya percaya, dengan adanya pengetahuan serta kemahiran yang diperolehi melalui program dan aktiviti di LaWa, hasilnya ada dalam kalangan peserta LaWa menjadi usahawan dan mempunyai perniagaan sendiri,” katanya ketika sesi lawatan kerja ke LaWa cawangan Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nancy berkata, selain LaWa, pihaknya juga mempunyai beberapa alternatif lain dalam memperkasakan peranan wanita dewasa ini.

Katanya, ini termasuk penubuhan skuad Waja atau pasukan sukarelawan KPWKM yang banyak membantu komuniti mereka dengan memberi motivasi kepada wanita yang terabai, bermasalah dan sebagainya.

“Saya amat menggalakkan penyertaan wanita dalam pasukan ini kerana ia bukan sahaja akan memperkasa peranan wanita, malah, mereka akan menjadi lebih yakin diri untuk membantu keluarga dan diri sendiri (sekiranya ditimpa masalah),” katanya yang memberitahu, setiap ahli Waja menerima latihan khusus daripada KPWKM.

Tambah Nancy, ketika ini, terdapat kira-kira 300,000 ahli Waja di seluruh negara dan beliau percaya jumlah itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN