Lokasi ketiga program Proklamasi Melayu dihadiri Tun M batal

Lokasi ketiga program Proklamasi Melayu dihadiri Tun M batal

TUN MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas dua kali bertukar lokasi bagi penganjuran program dinamakan Proklamasi Melayu dijadual disertai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, program di lokasi ketiga yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal Selayang (IDCC) pukul 3 petang ini turut dibatal pada saat akhir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, program di sana sudah disahkan semalam selain pembayaran telah dibuat.

Bagaimanapun, pihaknya menerima panggilan bahawa pengurusan IDCC terpaksa membatalkan tempahan program berkenaan.

Disebabkan pembatalan program itu, Tun Mahathir akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pukul 3 petang ini.

“Pembatalan ini dilakukan tanpa alasan yang jelas. Semalam tempahan sudah dibuat, tetapi, pagi tadi kami dapat maklumat dari pihak pengurusan terpaksa membatalkannya, jadi bayaran dibuat semalam dikembalikan.

“Jadi, apa yang berlaku pagi ini sama seperti yang berlaku semalam,” kata sumber ketika dihubungi.

Difahamkan, program yang dijadual di Selayang telah ditukar namanya ke program ambang Ramadan atas alasan nama program asal didakwa mencetus isu perkauman.

Semalam, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, lokasi kedua bagi penganjuran program Proklamasi Melayu dihadiri Tun Mahathir di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pada hari ini terpaksa dibatal.

Pihak pengurusan dewan telah memaklumkan pembatalan tempahan, namun tidak menyatakan sebarang sebab atas pembatalan tempahan program berkenaan.

Lewat malam semalam, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkongsi lokasi ketiga baharu bagi program tersebut di Selayang, namun dibatalkan pagi tadi.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir dijangka menjadi tetamu kehormat pada pelancaran program berkenaan di sebuah hotel di ibu negara. Bagaimanapun, program itu kemudian dipindah ke lokasi lain semalam atas masalah tertentu.

Himpunan itu difahamkan dianjur oleh Sekretariat Tanah Air, dan terdapat sumber mengesahkan ia tiada kaitan dengan pejabat bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.

Dr. Mahathir dilaporkan akan hadir ke program itu atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai wakil parti yang baharu disertainya iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Difahamkan, ia bukan acara politik sebaliknya membincangkan isu-isu berkaitan komuniti Melayu, manakala Dr. Mahathir dijadual memberi ucapan serta menandatangani proklamasi dalam program berkenaan.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa kerajaan tidak sekali-kali mengizinkan sebarang usaha oleh pihak tertentu untuk cuba mengadu domba dan menghangat suhu kaum dan agama di negara ini.

Katanya, ada pihak dalam kalangan orang yang kehilangan kuasa cuba meniup api perkauman dan agama.

Bagaimanapun, beliau menyebut secara khusus nama pemimpin atau sesuatu pihak selain tidak merujuk kepada perhimpunan berkenaan.-utusan

-HABIS-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya