Lelaki cuba selamatkan anak ditemukan lemas

Lelaki cuba selamatkan anak ditemukan lemas

PASUKAN Bomba mengangkat mayat lelaki ditemukan lemas di sungai berhampiran Jalan Imbaan Sailan di Putatan hari ini

KOTA KINABALU: Seorang lelaki hilang ditemukan lemas di sungai berhampiran Jalan Imbaan Sailan, Putatan pada pukul 9.15 pagi tadi.

Lelaki tersebut dipercayai cuba menyelamatkan anaknya dari dalam kenderaan yang tergelongsor ke dalam sungai namun, anak mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Mangsa, Lasibi Lawadihu,40, yang tidak sempat berenang ke tebing sungai dilaporkan hilang pada pukul 5.53 petang semalam dan ditemukan pagi tadi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Rony Sikawan berkata, mangsa ditemukan oleh Unit Drone Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada pukul 9.30 pagi.

Menurut Rony, mangsa difahamkan keluar memancing bersama anak lelakinya yang berusia lima tahun.

Namun, apabila tiba di lokasi, mangsa meninggalkan anaknya dalam kenderaan yang di parkir di tebing sungai dan memulakan aktiviti memancing sebelum menyedari kenderaannya menggelongsor ke dalam sungai.

Selepas berjaya mengeluarkan anaknya dari kereta yang telah mula tenggelam, mangsa hanya sempat menyerakan anaknya kepada orang awam yang berada di lokasi sebelum mangsa dilaporkan hilang.- utusan

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN