Lebih 4,500 kenderaan e-Hailing guna aplikasi MAXIM tiada permit

Lebih 4,500 kenderaan e-Hailing tiada permit

JPJ menyerbu sebuah syarikat EHO di Kuantan, Pahang kerana beroperasi tanpa EVP sah. - GAMBAR IHSAN JPJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah syarikat pengendali perniagaan pengantaraan (EHO)  diserbu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana beroperasi tanpa permit kenderaan e-Hailing (EVP) yang sah.

JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, risikan dan pemantauan selama 14 hari dibuat menerusi Op e-Hailing itu ke atas syarikat berkenaan yang beroperasi di Kuantan, Pahang.

Menurutnya, syarikat itu melanggar Seksyen 12A(5) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, kerana membenarkan kenderaan di bawah kendalian syarikat tersebut, beroperasi tanpa EVP sah di Putrajaya dan Pahang.

“Siasatan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati, daripada 5,000 buah kenderaan aktif yang menggunakan aplikasi berkenaan, hanya 402 buah kenderaan yang mempunyai EVP.

“Dalam operasi itu, beberapa peralatan dan dokumen syarikat seperti komputer, papan iklan, banner dan bunting dirampas dan disita untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 222 APAD 2010,” katanya.

Menurut JPJ, tindakan penguatkuasaan ini selaras Seksyen 12A(5) APAD 2010 dan boleh disabitkan mana-mana kesalahan di bawah Seksyen 12A(9) APAD 2010, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Katanya, JPJ akan terus memantau perkhidmatan EHO secara berterusan bagi mengesan mana-mana syarikat yang mengendalikan perniagaan pengantara tanpa lesen dan kenderaan-kenderaan perkhidmatan e-Hailing yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

JPJ berkata, pihaknya ingin menasihatkan mana-mana syarikat yang mahu menjalankan perniagaan pengantara dan penyediaan sistem EHO kepada pemandu-pemandu kenderaan e-Hailing supaya berdaftar serta dilesenkan di bawah APAD dan LPKP.

“Penumpang e-Hailing juga dinasihatkan untuk memastikan aplikasi tersebut adalah berdaftar serta dilesenkan melalui semakan di portal APAD dan LPKP supaya penumpang mendapat jaminan perlindungan insurans jika terbabit kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya