PETALING JAYA: Sebanyak 10,605 peserta dari seluruh negara mendaftarkan diri untuk menambah pendapatan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan pada 26 Februari lalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, permohonan IPR terdiri daripada 32 peratus kategori Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), 56 peratus Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan 12 peratus Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).
“Kementerian Ekonomi akan berhubung dengan para pemohon untuk langkah dan tindakan yang seterusnya.
“Kepada yang berminat dan masih belum memohon, anda boleh klik link ini untuk mendaftar https://ipr.epu.gov.my/login,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
IPR memberi fokus untuk meningkatkan pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 selain berusaha menyelesaikan masalah ekonomi harian menerusi inisiatif-inisiatif IPR.
IPR menumpukan usaha membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan dengan mewujudkan ekosistem antara pemohon, pemegang taruh dan masyarakat setempat. – UTUSAN