Laporan forensik perbualan WhatsApp tiada kaitan kes rasuah Guan Eng - Pendakwa

Laporan forensik perbualan WhatsApp tiada kaitan kes rasuah Guan Eng – Pendakwa

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi permohonan mendapatkan laporan forensik perbualan dua ahli perniagaan berkaitan kes terowong dasar laut Pulau Pinang. -  UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan menghujahkan, laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan berhubung wang RM2 juta, tiada kaitan dengan perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng yang sedang didengar di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, pihaknya tidak berhasrat mengemuka atau menggunakan dokumen itu pada perbicaraan kes terowong dasar laut yang sedang dihadapi oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau berhujah, dokumen-dokumen yang diperlukan telah diserahkan kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Hujahnya, laporan forensik itu juga tidak pernah dikemukakan sebagai keterangan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan telah dikategorikan sebagai dokumen rahsia. Sehubungan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, permohonan pihak pembelaan merupakan tindakan untuk memancing maklumat walhal mereka gagal membuktikan dokumen itu relevan atau sangat diperlukan pada perbicaraan.

Laporan forensik itu mengandungi perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja yang didedahkan melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Pihak pembelaan bagaimanapun menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ yang dirujuk dalam perbualan itu, bukan untuk Guan Eng, 62, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.

Wan Shaharuddin selanjutnya menghujahkan, laporan itu tidak relevan kerana Gnanaraja masih belum memberi keterangan manakala Zarul Ahmad masih belum selesai disoal balas.

“Eksibit yang dimasukkan setakat ini hanya bertujuan menghitamkan kredibiliti saksi-saksi pendakwaan termasuk Zarul Ahmad dan Gnanaraja melalui pintu belakang. Permohonan mendapatkan laporan forensik tersebut hanya berlandaskan kepada spekulasi dan andaian semata-mata bertujuan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan yang dihadapinya,” hujah beliau.

Sehubungan itu, Wan Shaharuddin menyatakan pihaknya tidak pernah menyembunyikan laporan forensik tersebut atau khuatir kes pendakwaan akan musnah sebaliknya berpendirian laporan itu tidak relevan dengan prosiding perbicaraan.

Hujah beliau, pihak pembelaan perlu hadir ke mahkamah dengan `tangan bersih’ bukan bersandarkan kepada permohonan yang tidak relevan sehingga memeningkan pasukan pendakwaan.

“Mereka datang ke mahkamah dan menjerit-jerit kira-kira sejam sehingga kawan saya (pihak pendakwaan pening kepala. Jika permohonan ini dibenarkan, akan ada lagi permohonan lain yang dikemukakan,” hujah Wan Shaharuddin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pembelaan yang disifatkan seolah-olah melakukan serangan peribadi terhadap pasukan pendakwaan.

Beliau menyatakan, mereka hanya menjalankan tugas dan kes itu mendapat liputan meluas pihak media menyebabkan pasukan itu perlu menjawab kepada pihak atasan jika terdapat laporan yang menyentuh serangan peribadi.

“Ini akan menarik perhatian media. Kami (pihak pendakwaan) berada di sini hanya untuk menjalankan tugas, kami tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dan menerima gaji yang sama setiap bulan,” katanya.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo berhujah agar permohonan itu dibenarkan bagi membuktikan Guan Eng tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya. Hujah beliau, pihak pendakwaan sengaja menyembunyikan keterangan kes di Shah Alam dan tindakan itu memalukan walhal pembelaan perlu diberi peluang memeriksa dan menyiasat dokumen tersebut.

“Pendakwaan terhadap Guan Eng bermotifkan politik jadi pembelaan memohon dokumen itu diberikan bagi membuktikan tertuduh tidak bersalah,” hujahnya.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan 5 April ini untuk memutuskan permohonan tersebut. Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG). Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.