KPWKM belanja lebih RM600,000 bekalan makanan mangsa banjir - Utusan Malaysia

KPWKM belanja lebih RM600,000 bekalan makanan mangsa banjir

NANCY Shukri (kiri) meninjau gerai usahawan wanita sempena lawatan kerjanya ke Laman Wanita (LaWa) cawangan Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan sehingga RM615,000 untuk bekalan makanan bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu bagaimanapun tidak mencukupi buat masa ini memandangkan terdapat pertambahan dari segi bilangan mangsa banjir yang terlibat.

“Setakat ini, kalau di Johor sahaja sudah ada lebih 42,000 (mangsa banjir). Apapun, saya gembira kerana Yayasan Kebajikan Negara (YKN) juga membantu melalui badan korporat yang memberi sumbangan kepada kita dan akan menambah lagi RM50,000.

“Dalam hal ini, saya juga ingin menguar-uarkan kepada pihak di luar sana yang ingin menderma bahawa mereka boleh berbuat demikian menerusi YKN.

“Alhamdulillah, ada yang mendengar dan ada juga tawaran untuk membantu,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja ke Laman Wanita (LaWa) cawangan Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Ketika ini, Johor merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 44,860 diikuti Pahang (2,978); Negeri Sembilan (587), Melaka (493) dan Selangor dengan 71 mangsa.

Sementara itu, Nancy berkata, pihaknya turut melakukan persiapan dan sentiasa bersiap siaga susulan terdapat ramalan akan berlaku banjir di Sabah dan Sarawak pula pertengahan Mac ini.

“Kita berharap ramalan banjir itu tidak keterlaluan seperti mana yang sedang berlaku di Johor ketika ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Nancy turut menyifatkan insiden tiga pegawai JKM yang terperangkap semasa dalam perjalanan untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di Johor beberapa hari lalu sebagai insiden di luar jangka.

“Itu sebenarnya hari pertama mereka. Jadi, mereka terkejut apabila terkandas dan tidak dapat sampaikan bantuan itu. Apapun, saya bersyukur kerana mereka semua selamat,” ujar beliau.

Dalam kejadian tersebut, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki pegawai JKM berkenaan terperangkap kira-kira satu jam dalam banjir hingga memaksa mereka keluar menyelamatkan diri dengan memanjat bumbung kereta selain hampir memanjat pokok kepala sawit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya