Kerajaan perluas kursus penjagaan warga emas melalui TVET

Kerajaan perluas kursus penjagaan warga emas melalui TVET

NANCY Shukri (tengah); Timbalannya, Datuk Seri Dr.Noraini Ahmad dan Duta Korea, Lee Jang Keun pada sidang akhbar Persidangan ASEAN+ROK Mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Orang Tua di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bakal bekerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membangunkan tenaga kerja penjagaan warga emas tempatan Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha itu sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan bagi menghadapi cabaran negara tua menjelang tahun 2030.

“Kami telah memulakan inisiatif ini secara dalaman dengan menaik taraf kemahiran petugas sedia ada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Namun, usaha ini tidak boleh berhenti setakat itu. Kami kini bekerjasama dengan institusi TVET bagi mengembangkan latihan dan pensijilan kepada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar Persidangan ASEAN+ROK Mengenai Penjagaan dan Sokongan untuk Orang Tua di sini, hari ini.

Menurut Nancy, jumlah warga emas di Malaysia yang semakin meningkat memerlukan sokongan sistematik, bukan sahaja dari segi kemudahan penjagaan, tetapi juga tenaga mahir yang beretika dan terlatih.

“Kita sasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 485 individu dalam bidang penjagaan tahun ini, berbanding hanya 235 orang pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya industri penjagaan dibangunkan sebagai satu sektor ekonomi formal yang menawarkan peluang pekerjaan tetap, bukan hanya bersifat sukarela atau tidak berstruktur.

“Ramai yang masih melihat kerja penjagaan ini sebagai sesuatu yang remeh, sedangkan hakikatnya ia memerlukan kemahiran, kesabaran dan latihan khas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan draf Rang Undang-Undang Warga Emas telah disiapkan dan kini sedang melalui fasa akhir perbincangan serta libat urus bersama pemegang taruh termasuk pihak industri.

“Draf sudah ada, cuma kita perlu dapatkan maklum balas terakhir daripada pemain industri. Selepas itu, kita akan serah kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya. Jika semuanya berjalan lancar, kita sasarkan untuk bentang di Parlimen tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN