Khai Bahar pernah kerja tukang cuci

Khai Bahar pernah kerja tukang cuci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSONALITI bersederhana yang dimiliki penyanyi popular ini membuatkan dirinya cukup disenangi orang sekeliling. 

Asuhan keluarga yang mendidiknya menjadi seorang yang merendah diri sentiasa digenggam erat sehingga kini. 

Selesa menjadi diri sendiri, Khai Bahar, 29, tidak malu berkongsikan pengalaman hidup sebelum menjejakkan kaki ke dalam industri seni. 

Sebutlah apa jenis pekerjaan sekalipun, semuanya sudah dirasai asalkan ia halal dan rezekinya diberkati. 

Pemilik nama sebenar, Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia adalah seorang individu yang suka mencuba kerana pengalaman mengajarnya erti kedewasaan hidup. 

“Lepas habis sekolah, saya pernah kerja jadi tukang cuci di hospital, kedai makan dan pasar raya. Saya suka cuba semua benda sebab saya ini orangnya pemalu. Jadi saya cuba buang sifat malu. 

“Sebagai anak lelaki bila sudah makin berusia kita sudah terfikir untuk buat sesuatu bagi bantu keluarga,” katanya kepada Pancaindera. 

Melihat kesusahan ibu bapanya sejak kecil, benar-benar membuatkan dirinya nekad mahu membalas segala jasa dan pengorbanan mereka. 

Akurnya, kesusahan hidup juga membuatkan niatnya untuk sambung belajar terhenti kerana dia perlu mengutamakan keperluan keluarga terlebih dahulu. 

“Saya sendiri tak boleh nak sambung belajar sebab bukan datang daripada keluarga senang. Saya ini berasal daripada keluarga susah. 

“Bila tak dapat nak sambung belajar, cuba buat benda yang saya minat. Banyak benda sudah saya harungi pergi ujibakat tak lepas, jadi penyanyi busker di Sarawak dan kerja di Kuala Lumpur,” kongsinya. 

Cinta

DITEBAK soal cinta, penyanyi lagu Luluh ini dengan jelas memberitahu dirinya masih single dan belum berpunya. 

Katanya, pelbagai soalan yang dilontarkan selama ini adalah sekadar usikan peminat yang mahu melihat dirinya bahagia, termasuk spekulasi bersama pengacara, Hawa Rizwana.

“Benda itu biasa sahaja sekadar usikan peminat. Kita sebagai tuan badan pun takut nak berlebih-lebih. 

“Kita pun tak tahu Hawa sudah berpunya atau tak. Jadi, layankan sahaja usikan mereka. Saya memang single sekarang,” kongsinya. 

Dituduh sekadar cover line atau kecenderungannya dikatakan ‘sesuatu’, Khai sudah tidak peduli dengan anggapan dan tohmahan orang sekeliling.

“Saya sudah pernah jelaskan masa buat live di media sosial, tiada apa-apa hubungan dengan sesiapa tetapi peminat masih nak kaitkan juga. 

“Pada saya terserah, kalau orang nak cakap ke arah itu (sesuatu) terpulang, sebab saya tak kisah dan ikutlah apa orang nak cakap,” luahnya.

Balas jasa

ANAK keempat daripada enam beradik ini berkata, pengalaman mendapat gaji sekitar RM1,000 lebih sebulan dengan pelbagai jenis pekerjaan dibuat tidak pernah mematahkan semangat untuk lebih berjaya. 

Dengan pendapatan dan kedudukan sebagai penyanyi sekarang, anak jati Perlis ini bersyukur kerana dapat berjasa kepada kedua-dua orang tuanya. 

“Masa mula-mula kerja dulu memang saya pernah niat nak bawa ayah dan ibu tunaikan umrah. Akhirnya, niat pertama saya tercapai untuk membawa mereka menjejakkan kaki ke tanah suci. 

“Selepas itu, macam-macam perkara dan hajat mereka dapat saya tunaikan,” katanya. 

Pada usia 29 tahun, hampir 50 anugerah dalam industri muzik sudah diraih serta merata undangan persembahan diterima. 

Ditanya pernah terfikir berada di kedudukan sekarang, jujurnya dia tidak pernah terbayang sejak enam tahun lalu. 

Apa yang tersemat dalam diari hidup Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2017 ini adalah berpegang prinsip usaha dan kerja keras menjamin kejayaan. 

“Kalau saya nak sesuatu memang akan berusaha bersungguh-sungguh. Memang minat menyanyi sejak kecil lagi dan pernah terdetik nak jadi selebriti seperti sekarang. 

“Bila fikir balik macam mustahil tetapi saya cuba macam-macam perkara, termasuk masa mula-mula menyanyi di aplikasi Smule dan YouTube. 

“Itu juga satu usaha nak tonjolkan bakat supaya orang nampak dan tertarik,” ujarnya.

Anak kampung

SEJAK muncul dalam industri muzik, komposer dan penulis lirik ini pernah dilabelkan sebagai ‘budak kampung’ yang sinonim dengan asal-usulnya dari Kampung Padang Katong, Kangar, Perlis. 

Kongsi Khai, tidak pernah sekelumit rasa malu atau hina dilabelkan sedemikian kerana dia sedar diri dan bukan dilahirkan dalam kepompong kemewahan. 

“Saya bukan lahir terus jadi anak orang kaya. Memang saya dari kampung bukannya bandar. Tiada masalah pun, dari kecil memang saya sudah biasa main parit dan bangga sebagai anak kampung. 

“Banyak pengalaman dan peristiwa hidup yang saya lalui tiada pada orang lain. Setiap individu ada momen tersendiri. 

“Saya tak menyesal dengan sejarah hidup sendiri sebab itu adalah kenangan terindah dalam hidup,” katanya. 

Selagi kudrat dikandung badan, selagi itu Khai akan berusaha memenuhi harapan peminat. 

Dengan sokongan peminat tercinta, Khai Bahar Empire, penyanyi lagu Bayang ini mahu terus melangkah lebih jauh. 

Diajukan soalan sampai bila boleh bertahan dalam bidang nyanyian, katanya, persoalan takdir itu diserahkan kepada aturan Allah SWT. 

“Terserah pada masa akan datang, yang penting saya akan sentiasa cuba melangkah lebih jauh lagi dan mencontohi penyanyi hebat lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×