KUALA LUMPUR: Bidang kesihatan dan pendidikan merupakan dua keutamaan kerajaan pada masa kini ekoran kekangan kewangan negara yang berdepan defisit dan jumlah hutang yang banyak.
Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Belanjawan 2023 memfokuskan kedua-dua keperluan itu dengan memberikan peruntukkan lebih banyak untuk menyelesaikan masalah asas terlebih dahulu.
Namun beliau menjelaskan, tindakan itu tidak bermakna bidang lain tidak diberikan keutamaan sebaliknya kerajaan mahu memfokuskan asas rakyat khususnya membabitkan prasarana sekolah dan klinik.
“Saya imbas sedikit tentang belanjawan negara, tahun ini kita tumpu sekolah dan kesihatan, apabila kekangan kewangan itu dengan hutang begitu banyak dan defisit, itu kita tidak boleh masalah dalam masa singkat.
“Jadi untuk tahun ini kita ambil langkah-langkah sangat tegas dan berani, belanja lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah asas prasarana sekolah dan klinik kesihatan, perubatan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang dekat sini hari ini. – UTUSAN










