Kes rasuah Adam Radlan di Shah Alam, dipindah ke ibu negara untuk bicara bersama - Utusan Malaysia

Kes rasuah Adam Radlan di Shah Alam, dipindah ke ibu negara untuk bicara bersama

ADAM Radlan Adam Muhammad hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes rasuah Jana Wibawa. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertuduhan rasuah terhadap ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen Shah Alam, akan dibicara bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Ketua Bahagian Segambut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menghadapi sejumlah lima pertuduhan iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Di ibu negara, Adam Radlan didakwa di dua Mahkamah Sesyen pada 21 dan 28 Februari lalu melibatkan dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta.

Tertuduh yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat, turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari lalu melibatkan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketika kes disebut di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaidi memaklumkan pihak pendakwaan akan memindahkan dua pertuduhan di Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan secara bersama dengan kes di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, kes di Shah Alam akan disebut pada 14 April ini.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan memaklumkan, pihak pembelaan tiada bantahan terhadap pemindahan kes anak guamnya.

Maziah turut memberitahu, pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah.

Sementara itu, Rajan Navaratnam kemudian mengesahkan sudah menerima dokumen-dokumen tersebut.

Azura menetapkan tarikh sebutan selanjutnya pada 29 Mei ini untuk serahan dokumen yang lain.

Adam Radlan, 42, dituduh menerima suapan wang tunai RM500,000 berkaitan projek Jana Wibawa.

Ahli perniagaan itu turut didakwa meminta suapan sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain mendapatkan surat setuju terima bagi projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh.

Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.

Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.

Sementara di Shah Alam pula, Adam Radlan sebagai Pengarah Syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd. didakwa menerima suapan RM2 juta melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan RM2.1 juta menerusi akaun sama daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM47.8 juta.

Dua kesalahan terbabit dilakukan di CIMB Bank Bhd cawangan Jaya One, Petaling Jaya antara 26 November 2021 dan 5 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya