MELAKA: Kerajaan akan menyelaras semua bentuk bantuan kepada masyarakat orang asli yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda Johor dan Pahang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah diminta pergi ke kawasan terlibat bagi membuat penilaian secara terperinci.
Beliau berkata, selain bantuan Jawatankuasa Bencana Pusat di peringkat negeri dan daerah, masyarakat orang asli juga berhak menerima bantuan lain daripada Jakoa.
“Bukan setakat infrastruktur dan jalan akan dibaik pulih tetapi juga perkakasan rumah serta membaik pulih rumah juga akan turut dilakukan.
“Saya minta Ketua Pengarah Jakoa untuk turun padang meninjau dan menilai bentuk bantuan yang perlu disalurkan kepada masyarakat itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Tambah Ahmad Zahid, beliau akan memastikan koordinasi antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Jakoa berjalan lancar bagi membantu masyarakat tersebut.
Jelasnya, setakat ini kerajaan belum mempunyai jumlah orang asli yang terkesan ekoran bencana berkenaan. – UTUSAN