KUALA LUMPUR: Kerajaan perpaduan terpaksa menanggung liabiliti dan keputusan dasar yang dibuat kerajaan sebelum ini khususnya dalam isu keterjaminan makanan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ia adalah beban besar yang perlu dihadapi,namun tetap menjalankan tugas dengan baik bagi mengimbangi keperluan industri dan keperluan pengguna.
“Selama ini, seingat saya lebih sedekad kita bercakap keterjaminan makanan dan keterjaminan makanan ini adalah isu besar dan bukan remeh. Kerajaan pada hari ini terpaksa menanggung liabiliti keputusan- keputusan dasar yang kerajaan buat sebelum ini.
“Ini adalah beban besar yang ditanggung kerajaan perpaduan pada hari ini, namun kita komited dan berikan terbaik untuk lakukannya hatta dengan menamakan kementerian dengan meletakkan keterjaminan kos sara hidup dalam kementerian,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) meminta kementerian menjelaskan mengapa pengeluaran daging lembu tidak ditingkatkan setelah berpuluh tahun mencapai 100 peratus dan adakah ia dipengaruhi beberapa kartel termasuk kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta membabitkan keluarga Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. – UTUSAN










