KOTA TINGGI: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan memastikan para pelajar di kawasan terjejas akibat bencana banjir di negeri ini dapat memulakan sesi persekolahan 2023 yang bermula Ahad ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, koordinasi akan dilakukan supaya 17 buah sekolah yang terjejas akibat banjir di negeri ini dapat memulakan sesi persekolahan meskipun dalam keadaan kurang kondusif.
Menurutnya, Jawatankuasa Bencana Negara akan bekerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa agensi lain untuk menyelesaikan masalah yang ada di kawasan berkenaan dengan segera.
“Bagi 17 buah sekolah ini biarpun hanya menggunakan premis-premis sementara tetapi koordinasi akan dilakukan tentunya dengan Nadma, APM dan beberapa agensi lain bersama-sama Jawatankuasa Bencana peringkat negeri dan daerah.
“Yang penting murid-murid dan pelajar-pelajar boleh terus belajar walaupun mungkin tidak terlalu kondusif keadaannya tetapi kita akan ikhtiarkan supaya dapat diselesaikan segera,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bandar Tenggara, di sini semalam.
Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan akan menyegerakan peruntukan untuk membolehkan kerja-kerja membaik pulih 17 sekolah di Johor yang terjejas akibat banjir dapat diselesaikan sebelum 19 Mac ini.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, jumlah mangsa banjir di Johor seramai 42,706 orang melibatkan 12,047 keluarga yang ditempatkan di 152 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengesahkan pelantikan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menyerahkan watikah pelantikan itu kepada Asyraf Wajdi di pejabat kementeriannya Jumaat lalu.
“Bukan desas desus lagi, telah lantik dan saya sudah beri watikah pada Jumaat yang lalu. Gambar (tular) sahih. Pelantikan dibuat di kementerian,” katanya. – UTUSAN










