KANGAR: Kerajaan negeri sedang dalam proses rundingan bersama Bank Muamalat bagi memberi pinjaman mikro kredit kepada golongan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini.
Bagi pelaksanaan ini, kerajaan negeri bakal memperuntukan sejumlah RM500,000 dalam membantu golongan peniaga IKS untuk mengembangkan perusahaan mereka.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, perkara itu masih di peringkat rundingan bersama bank terlibat dan kerajaan negeri bakal membuat pengumuman rasmi berhubung inisiatif pinjaman berkenaan selepas ini.
“Ini merupakan inisiatif yang bakal kita laksanakan dan kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi tujuan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, bersempena pentadbiran kerajaan negeri bagi tempoh 100 hari, Perlis turut menerima manfaat apabila meraih nilai pelaburan berjumlah RM318 juta.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan negeri juga turut mendapat kelulusan bagi pelaksanaan projek Perlis Inland Port (PIP) yang ketika ini sedang berjalan.
“Insha- Allah hujung tahun ini juga kita akan mulakan pelaksanaan Sanglang Intergrated Jetty dan penyambungan projek itu bagi saya merupakan satu kejayaan buat Perlis,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga akan membina sebuah klinik ibu dan anak bersama Menteri Besar Incorporated (MBI) Terengganu.
Tambahnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pelaburan dalam bidang perubatan antara KMI Healthcare bersama MBI.
“Terkini, Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC) iaitu loji di Kuala Sungai Baru juga akan lupuskan hutang Syarikat Air Perlis (SAP) berjumlah RM30 juta.
“Bagi Perlis yang merupakan sebuah negeri kecil, ini merupakan satu kejayaan yang besar,” katanya.-UTUSAN