PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan pengosongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan jelas bermotifkan politik.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia terutamanya melibatkan dua ADUN Bersatu iaitu Khalid Mahtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) yang tidak pernah melakukan apa-apa perkara boleh menyebabkan kerusi mereka perlu dikosongkan di bawah Artikel 14A.
“Kedua-dua ADUN ini tidak pernah pada bila-bila masa meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah menyertai parti politik lain. Mereka kekal sebagai ahli Bersatu sehingga kini.
“Tindakan DUN Pulau Pinang bukan sahaja jelas satu penyalahgunaan kuasa, malah pada hakikatnya tidak menghormati lunas-lunas demokrasi serta dilihat sebagai satu pencabulan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Selain Khalid Mahtab dan Zolkifly, dua lagi wakil rakyat Bersatu juga mengalami nasib sama iaitu
Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).
Jelas Hamzah lagi, tindakan DUN Pulau Pinang bukan sahaja jelas satu penyalahgunaan kuasa, malah hakikatnya tidak menghormati lunas-lunas demokrasi serta dilihat sebagai satu pencabulan undang-undang.
“Hak demokrasi rakyat dan pengundi telah dinafikan. Ini adalah suatu rampasan kuasa pengundi oleh DUN Pulau Pinang dengan berselindung di sebalik undang-undang.
“Walaupun Bersatu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan keempat-empat ADUN ini, kami dinasihatkan dan mempercayai bahawa mahkamah terkhilaf dalam menafsirkan pemakaian Artikel 14A ke atas mereka .
“Bersatu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut,” katanya.-utusan