Kediaman terbakar ketika berbuka di rumah pusaka

Rumah hangus dijilat api ketika pemilik berbuka puasa

ANGGOTA bomba memadam api yang marak di rumah Mohd. Zarani Abu Seman dalam kebakaran di Kampung Teloi Tua, Sik, Kedah, petang semalam. – FOTO/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang pemilik rumah ti­dak menyangka sepeninggalan mereka sekeluarga untuk berbu­ka pua­sa di rumah pusaka bapanya ber­akhir dengan tragedi apabila rumah mereka hangus terbakar dalam kebakaran di Kampung Teloi Tua, petang semalam.

Mohd. Zarani Abu Seman, 47, berkata, ketika kejadian, dia ber­sama isteri, Fazida Yahaya, 47, dan dua anak mereka sedang berbuka puasa di rumah pusaka bapa mereka didiami oleh adik­nya, Suhaila Abu Seman, 43, yang jaraknya hanya dua kilo­me­ter dari kediaman mereka.

“Kami ke rumah pusaka pada pukul 7.25 petang untuk berbuka puasa, kemudian pada pukul 7.50 malam, saya pulang seorang dahulu ke rumah untuk menunaikan solat Maghrib, namun terkejut apabila ternampak api sedang marak membakar rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya lihat api datang dari sebuah pondok menyimpan ba­rang yang ada berhampiran ru­mah dan menyambar di bahagian hadapan rumah serta bilik utama. Saya segera meng­hubungi isteri, adik dan jiran-jiran kampung untuk membantu memadam api,” katanya ketika ditemui.

Menurut Mohd. Zarani, rumah yang mereka diami itu ja­uh daripada jiran menyebabkan tia­da siapa yang menyedari ber­la­kunya kebakaran itu.

Katanya, mereka segera meng­­hubungi Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) untuk membantu memadam api tersebut, namun api marak terlalu cepat.

“Kami tidak sempat menyelamat barangan rumah atau pun dokumen-dokumen penting, ba­­ju-baju baharu untuk anak-anak dan isteri sambut Hari Raya Aidilfitri nanti dan juga pakaian serta alatan persekolahan anak-anak turut musnah terbakar.

“Kami tinggal sehelai sepinggang, mujur ketika kejadian kami berada di luar rumah dan dua anak lagi berada di luar kerana masih belajar di institut pengajian tinggi (IPT),” katanya yang reda dengan nasib dan ujian yang menimpa mereka sekeluarga ketika bulan Ramadan.

Sementara itu, Pengerusi BS­YJM, Mahadzir Abdul Hamid berkata, operasi pemadaman di­ketuai oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik serta dibantu BSYJM yang berpengkalan di Kampung Tala, Jeneri.

“Pasukan BSYJM yang menerima panggilan kecemasan pukul 8.03 malam telah mengatur gerak pasukan ke lokasi de­ngan kekuatan lapan anggota dan sebuah jentera.

“Operasi pemadaman menggunakan pam mudah alih bagi mendapatkan bekalan air dari parit berhampiran memandang­kan kawasan kebakaran tidak memiliki paip Syarikat Air Darul Aman (SADA) selain tiada pili bomba,” katanya.

Tambah beliau, operasi pemadaman hanya berjaya diselesaikan sepenuhnya kira-kira pukul 10 malam dan faktor kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini