PETALING JAYA: Pendirian kerajaan untuk tidak menaikkan elaun sara hidup nelayan kepada RM500 sebulan mendapat kecaman dari pihak pembangkang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menganggap, pendirian tersebut seolah-olah ia hanya isu kecil bagi kerajaan.
“Saya kecewa kerana kerajaan enggan menaikkan elaun tersebut walau sedikit pun. Jawapan yang diberikan pun seperti sambil lewa seolah-olah ini isu kecil bagi kerajaan.
“Saya amat tidak bersetuju dengan cara menteri berkata “adalah menjadi hasrat Kementerian untuk mengurangkan kebergantungan kumpulan sasar terhadap bantuan dan insentif oleh kerajaan…”
“Ayat ini memberi gambaran buruk mengenai nelayan, seolah-olah nelayan sengaja mahu bergantung kepada kerajaan dan tidak tahu berusaha sendiri. Tidak sepatutnya menteri menimbulkan persepsi buruk sebegini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ia adalah permintaan sendiri daripada warga nelayan.
“Baik nelayan laut mahupun nelayan sungai, mereka bekerja membanting tulang demi mencari rezeki yang halal. Mereka bekerja kuat setiap hari tetapi kos mereka naik mendadak.
“Contohnya, harga pukat pun ada yang naik dua kali ganda. Sebab itulah mereka mengharap sedikit sahaja tambahan bantuan kerajaan, biarpun untuk sementara waktu,” katanya.
Beliau juga menyifatkan, kerajaan terlalu sibuk berpolitik hingga gagal memahami denyut nadi rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup rakyat biasa.
“Jumlah keseluruhan bajet yang mereka bentangkan adalah amat besar tapi rintihan golongan nelayan yang memohon kenaikan elaun ini nampaknya tidak dipedulikan,” katanya. – UTUSAN