PETALING JAYA: Pelakon, Uqasha Senrose memaklumkan suaminya yang juga aktor, Kamal Adli sudah sedar selepas menjalani pembedahan akibat cedera parah diserang individu tidak dikenali.
Uqasha memberitahu, Kamal ketika ini berada dalam keadaan mamai dan berehat bagi rawatan susulan bagi kecederaan bahagian kepala dan badan.
“Alhamdulilah, Kamal dah sedar dan masih mamai. Harap semua doakan keselamatan kami dan juga keselamatan kalian, akhir zaman,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Kamal diserang individu tidak dikenali ketika sedang bergambar bersaa peminat di sebuah acara ekspo di Singapura.
Kejadian mengejutkan itu berlaku secara tiba-tiba dan penjenayah tersebut sudah diberkas selepas orang ramai menahan individu tersebut.
Kongsi Uqasha kepada Utusan Malaysia, Kamal dipukul di bahagian kepala dan pili berkali kali dan penjenayah tersebut turut mengugut untuk mencederakan pelakon itu serta adik-beradiknya.
“Saya dan Kamal sedang bergambar dengan peminat. Tiba-tiba, ada seorang lelaki datang dan bertanya, Kamal mana.
“Kami fikir, dia peminat. Kamal tegur dia, tiba-tiba dia keluarkan cota dari poket. Dia pukul berkali-kali belakang kepala.
“Darah berjurai di baju. Apabila Kamal angkat kepala, dia pukul di tulang pipi. Kemudian berkali-kali di badan dan dia pun ada senjata tajam,” ujarnya.