Jenayah di Sepang naik 40%, banyak kes curi

Jenayah di Sepang naik 40%, banyak kes curi

WAN KAMARUL AZRAN Wan Yusoff berbual dengan Aiman Athirah Al Jundi di pekarangan IPD Sepang, Selangor. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kes jenayah membabitkan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sepanjang tahun lepas didapati melonjak kira-kira 40 peratus berbanding 2021.

Menurut Ketua Polis Daerahnya, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff, sebahagian besar kes itu melibatkan kawasan di bawah Balai Polis Dato Abu Bakar Baginda dengan jenayah paling popular direkodkan ialah kes curi dalam bangunan sebuah pusat beli-belah utama di zon balai itu.

Beliau bagaimanapun memberitahu, keadaan keselamatan di daerah ini masih terkawal, namun berharap prasarana di balai berkenaan dapat ditambah baik kerana keadaan pada masa ini didapati tidak cukup sesuai.

Premis tersebut ujar beliau, pada asalnya hanyalah merupakan sebuah balai raya yang diberikan pihak Majlis Perbandaran Sepang untuk ditukar serta dijadikan balai polis.

Malah, jelasnya, lokasi balai itu dianggap tidak selamat kerana tiada pagar dan berdepan dengan jalan besar meskipun memiliki kekuatan 28 anggota dan pegawai.

“Balai berkenaan mempunyai tanggungjawab agak berat kerana dikelilingi banyak premis penting institusi awam dan badan berkanun termasuk ibu pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Institut Latihan Islam Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam serta Hospital Serdang.

“Malah, sekitar balai itu sendiri pun penuh dengan pelbagai akademi latihan daripada institusi perbankan yang utama dan beberapa pusat pengajian tinggi tempatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Peringatan Hari Polis Ke-216 Peringkat IPD Sepang di dataran kawad, di sini hari ini.

Menyentuh perancangan masa depan IPD Sepang, beliau berkata, banyak usaha penambahbaikan akan dilaksanakan bermula esok antaranya ialah 15 siri Ops Payung.

Pada masa sama, beliau bersyukur apabila pihaknya dibekalkan tambahan lima buah lagi kereta peronda baharu untuk penugasan dengan lebih kerap di seluruh daerah tersebut selain meningkatkan rondaan di pusat beli-belah yang mencatatkan jumlah kecurian tinggi itu selain hotel dan resort di lokasi ‘panas’ jenayah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya