KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya tidak terlalu rakus menggunakan kuasa untuk mengenakan pendakwaan terhadap pihak pembangkang.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau masih yakin kerajaan sedia ada tidak akan boleh menggunakan kuasa pada masa yang lama.
“Walaupun mereka ada majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi mereka sebenarnya tidaklah sekuat mana. Mereka kata Kerajaan Perpaduan tapi mereka tak berpadu.
“Kita boleh nampak kerapuhan hubungan mereka apabila mereka berbalah sesama sendiri di Parlimen. Ini rakyat pun boleh nampak.
“Jadi, saya nak pesan kepada sang penguasa di Putrajaya, berpada-padalah. Jangan terlalu rakus menggunakan kuasa mengikut hawa nafsu dan dendam kesumat. Tidak ada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan Allah,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini.
Pada masa sama, katanya, kerajaan masih tidak mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan.
“Agaknya kejayaan terbesar mereka adalah mendakwa saya di mahkamah. Itu sahajalah. Saya yakin kerajaan ini akan mendapat markah gagal sepanjang masa kalau begini cara mereka mengurus negara,” katanya. – UTUSAN










